Rabu, Julai 03, 2013

.: catatan hari ini :.

Bismillah.

7:00pagi~Hari ini masak lemak cili padi ayam kampung dan menggoreng sayur brokoli sebelum bergegas ke pejabat.

9:15pagi~Agak kelewatan juga Ibu bersiap untuk keluar ke pejabat pagi ini. Sampai diparkir bangunan TTDI Plaza pun jam sudah mendetik 9:05pagi. Naik keluar dari tingkat parkir ke muka pintu lif, bertembung pula dengan Cik Puan Besar. Hurmm… apalagi, biarpun dalam seminggu tak sekali Ibu kelewatan tetap juga Ibu ditegurnya. Pun bukanlah Ibu lewat benar pagi ini.. sekadar 5-10minit lewatnya….haishhh..

Petang nanti cadangnya Ibu ingin balik tepat-tepat jam 6:00petang, tapi pagi ini Ibu sudah kelewatan masuk ke pejabat… gagal sudah! Eheh…

Tapi apapun seboleh mungkin Ibu tetap ingin pulang tepat-tepat jam 6:00petang. Ibu tak ingin lewat untuk hadir ke usrah Lovely Sisters Big Circle malam nanti.

©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©

6:10petang~Indahnya cuaca petang hari ini membuat hati Ibu bahagia. Trafik lancar dan kereta Ibu pandu terluncur laju. Matahari petang bersinar lembut memancar ke wajah kusam Ibu jadi berseri-seri.  Bunga-bunga bahagia dalam hati makin menguntum ingin segera sampai ke rumah.

7:35malam~Usai bersegar-segar dan berwuduk, Maghrib pun tertunaikan. Ayah membuka mulut mempelawa untuk dihantar. Bunga-bunga bahagia yang menguntum tambah kembang.
                                                                                                         
Anak-anak Ibu tinggalkan dengan berpesan supaya makan malam dan menyiapkan kerja sekolah. Kasihan anak-anak belahan jiwa terpaksa Ibu tinggalkan malam ini demi bulatan kemanisan dalam raudhah yang ingin Ibu hadiri.

Semoga Allah redha…




Jumaat, Jun 28, 2013

.: Tips Celik Mom Prof Muhaya :.

Tips Untuk Kebahagiaan Anak 

Jom amalkan 10 tip dibawah ini bermula dari hari ini juga.

Sebenarnya diuji dalam nikmat ini amat memerlukan pertolongan Allah. Takut pula timbul sifat sombong, bangga diri, rasa hebat dan lainlain. Hanya padaNya kita berserah setelah berdoa dan berusaha. Beberapa tip yang boleh kongsi bersama.

1. Kalau tiba-tiba teringatkan anak kirimkan bacaan Al Fatihah. Sampai ke ayat "iyyakanakbudu waiyyakanastain" - yang ertinya "Hanya kepada Mu kami sembah dan hanya padaMU pohon pertolongan..", mintalah apa-apa hajat masa itu yang ada hubung kait dengan anak yang Kita ingat tu, habiskan bacaan surah Al Fatihah doakan semuga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanafaat Dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.

2. Pandang wajahnya semasa dia tidur ucapkan bahawa, ibu nak (nama anak) jadi anak yang soleh sayang!. Cubalah amalkan ( ustaz kata ini makna kita bercakap dengan rohnya ) Dan ucapan ini adalah DOA Dan Allah Maha mendengar lagi maha melihat.

3. Masa bangun solat malam, solatlah hajat disisinya. Maksudnya Kita solat dalam bilik dia Dan dekat dengan dia. Jika Kita selalu buat Dan Kita juga selalu beritahu dia yang Kita sering doakan dia, dia akan rasa satu ikatan kasih sayang yang hakiki yang Kita amat sayangkan dia dan nak dia jadi anak soleh.Dia akan tahu Kita selalu solat hajat untuknya.

4. Minta dikasihani. Ucapkan setiap masa bahawa kita ni sedang menunggu panggilan Allah. Jika Dia tak jadi anak soleh bermakna dia tak sayangkan kita dan tentunya kita akan merana di Alam Barzah nanti.

5. Peluklah anak selalu walaupun dia sudah besar, sebagaimana Kita tatang dia masa kecilnya. Aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita bangga mempunyai anak sepertinya.

6. Maafkan anak Kita setiap masa walaupun perbuatannya amat melukakan hati Kita.Muhasabbah diri mungkin kesilapan yang anak lakukan itu adalah kerana dosa-dosa kita dimasa lampau.

7. Yang paling penting jaga tutur kata Kita, jangan sekali-kali ucapkan perkataan yang boleh melukakan hatinya. Jika ini berlaku juga kerana kita TER.. kata, cepat-cepat cari masa yang sesuai untuk Kita minta maaf padanya. Mengakulah padanya itu kelemahan Kita, Kita marah kerana dia buat salah,bukan bermaksud membenci.Ceritalah buat macam dramapun boleh .

8. Amalkan membaca ayat 40 surah Ibrahim supaya Kita,anak Dan zuriat keturunan Kita termasuk dalam golongan orangorang yang tetap mendirikan Solat. [Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.]

9. Selalu ingatkan anak bahawa tak guna ada pangkat, belajar tinggi, hatta hafal Quran sekalipun jika tidak mempunyai peribadi yang mulia.Allah tak pandang wajah yang cantik tapi pandang hati yang cantik. Allah tak sayang, manusia tak suka.

10. Masa basuh beras niatkan "Ya.. Allah lembutkanlah hati anak-anak ku sebut nama dia.....untuk faham agamanya ", [kenapa Kita nak dia faham agama, kerana anak yang tak faham agama boleh bawa ibubapanya juga ke neraka sebagaimana engkau lembutkan beras ini menjadi nasi ". Basuh beras lawan jam ( macam org tawaf ) sambil selawat kepada Nabi Muhamad S. A.W. Masa buat kerja ini hati jangan lalai..dan ingat kepada Allah selalu.

~ mudah-mudahan dapatlah Ibu mengamalkan sedaya boleh demi anak-anak

Khamis, Jun 13, 2013

.: Irsyad Demam :.

Sudah lama Ibu tidak berpagi menyediakan sarapan anak-anak sebelum ke sekolah. Mengantuk benar. Tak kuat langsung bermujahadah melawan kantuk. Lewat-lewat waktu subuh baru Ibu terdaya bangun terkocoh-kocoh menyempurnakan solat. Waktu itu Abang dan Kakak sudah buka pintu grill untuk turun. Mereka cuma minum seteguk-dua air teh bancuhan bibik. Kasihan anak-anak Ibu…

Hari ini si kecil Irsyad pula sudah 5 hari demamnya tak kebah-kebah. Ini tak boleh jadi…
Berhari-hari ditinggal Irsyad berehat di rumah tidak ke sekolah. Tapi malangnya Isryad belum juga sihat. Rehat saja tanpa makan ubat. Mungkin itulah sebabnya demamnya melarat, tak kebah. Sebab tak makan ubat?

Pagi ini Ibu tidak mahu meinggalkan Irsyad sebelum memastikan dia kenyang makan, makanan ruji. Bukan makanan ringan dan siap diberikan ubat. Awal-awal lagi Cik Puan Besar dimaklumkan akan kelewatan Ibu kerana belahan jiwa Ibu nan seorang itu masih tinggi suhu badannya. Alhamdulillah CPB memahami.

Jadi pagi ini sebelum ke pejabat Ibu masakkan bubur ubi keledek untuk Irsyad. Usai masak, suam-suam kuku Ibu suapkan bubur nasi ubi keledek ke mulut Irsyad. Siap makan terus Irsyad diberikan ubat, bekal dari klinik Dr Aziz. 

Kesalan tak terucapkan bila anak-anak seperti terabaikan tanpa perhatian. Irsyad demam berhari-hari.  Entah mengapa naluri Ibu kuat mengatakan demam Irsyad itu demam biasa bukan demam viral atau apa pun yang merbahaya. Tapi ia tak terkawalkan dan melarat-larat. Mengapa? Mana Ibu yang sepatutnya memerhati Irsyad dari masa ke masa, agar suhu badannya lekas turun dan kebah. Mana Ibu yang seharusnya membelai sambil melayan Irsyad minum ubat? Sibuk benarkah Ibu? Berat benar tugasan Ibu hingga lelah bila di rumah dan tidak terdaya merawat anak? Gagalkah sudah Ibu? 


Khamis, Jun 06, 2013

.:isra' mikraj:.


Aduhaiii..
Hari ini terasa lambat benar waktu berlalu. Jenuh menunggu saat demi saat mendetik. Cik Puan Besar pula memang sentiasa berada dalam kantornya sahaja. Tiada temu janji hari ini. Begitu terasanya perlahan waktu bila dia Si CPB ada dalam kantornya. Ahhh… dugaan.


Hari ini 27 Rejab 1434. Pada tinta sejarah hari ini harus dikenang akan peristiwa Isra’ Mikraj Nabi s.a.w. Mari Ibu catitkan sedikit nota tentang Isra’ Mikraj ini supaya Ibu tidak lupa. Dan semoga juga apa yang masih belum Ibu hayati tentang peristiwa ini akan meresap ke dalam jiwa Ibu. Agar menjadi ilmu yang dapat Ibu sampaikan kepada hamba-hamba Allah, amanah dariNya yang telah lahir dari rahim Ibu.

01. Israk yakni perjalanan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

02. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Alhamdulillah walau agak terlambat kerana hanya selepas Isyak baru Ibu membuka lembaran (tapi masih sempat) untuk duduk berbulatan bersama anak-anak untuk bercerita tentang Isra’ Mikraj. Sungguh terdapat banyak kisah-kisah yang perlu diketahui dan difahami tentang perjalanan malam Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam  Antaranya cerita tentang solat 5 waktu, harum makam Mashitah, azab buat si derhaka di neraka dan banyak lagi yang Ibu kongsikan dengan anak-anak. Alangkah baiknya jika ayah tidak sibuk malam itu, dapat Ayah duduk bersama menokoknambah cerita Ibu..

p/s: buat sahabat yang singgah membaca entri ini… jika menyinggah kerana mencari isi untuk tajuk Isra’ Mikraj harap dapat google ke laman sesawang yang lebih lengkap maklumatnya. Coretan Ibu sekadar catatan harian yang menjadi nota ingatan dengan bahasa sendiri untuk peringatan sendiri supaya ada rasa ingin tahu, ada rasa untuk membuang kejahilan …wallahualam..

Selasa, Mei 21, 2013

.: Alangkah... :.

Apa nak cerita hari ni ya…

Sebenarnya hari ini dilalui dengan kerutinan dan kebiasaan yang sangat biasa-biasa sahaja. Tak ada apa menariknya dan tiada apa yang mengujakan pun. 

Ibu keluar rumah  seperti biasa pada waktu yang sama seperti hari-hari sebelumnya semenjak bertukar semula dari Ibu Surirumah menjadi Ibu Bekerja. Tapi Ibu agak kelewatan sampai ke pejabat hari ini. Kerana yang agak luarbiasanya adalah trafik hari ini. Pun begitu keadaan trafik yang ‘unpredictable’ itu pun masih termasuk dalam lingkungan perkara biasa kerutinan. The unpredictable traffic itu memang begitu selalu...sangat unpredictable. Makanya memang ia masih perkara biasa-biasa juga tentang perjalanan hari ini.

Jadi. Apa yang lainnya yang nak diceritakan hari ini?

Suatu kelainan hari ini adalah apabila, dipagi hari ketika Ibu masih termengah-mengah baru tiba ke meja kerja, telefon kecil berbunyi. Sewaktu deringannya ditangkap deria telinga, otak pula segera ligat  menduga-duga siapakah gerangan yang memanggil itu.

Agak mengejutkan. 

Tak sangka yang pemanggilnya akan memanggil. (Setelah tidak berapa lama sebelum itu beberapa panggilan Ibu tidak dijawab dan tidak dia memanggil semula.) 
Dan...tak terduga langsung akan mendengar tentang berita yang disampaikannya. Perasaan Ibu  pun jadi bercampurbaur. Semua rasa ada. Terkejut pada awalnya. Marah. Suspicious pun ada. Dan akhirnya sangat kesal dan sedih.

Kesal amat. Memang. 

Kerana semua ini adalah permasalahan pembantu rumah Aceh. Sakit hatilah nak menulis cerita tentang ini sepenuhnya.


Ibu ingin berhenti di sini. Sungguh tidak enak langsung rasa... jika hendak diteruskan cerita gempar yang sangat pathetic ini. Titik. Cukup disini sahaja untuk kali ini.

Alangkah... kalaulah hadir mereka ini dapat benar-benar meringankan beban...seringan poket yang kehilangan ongkos men'jemput' mereka..


Isnin, Mei 20, 2013

.: pakai hijab ikut syarie :.

Bismillah
Wahh... terasa seakan memandai sungguh Ibu nak tulis tentang hijab dan aurah. Sedang Ibu sendiri masih struggle, masih merangkak-rangkak, masih bertatih-tatih nak hijabkan aurah Ibu sesempurnanya. Apapun entri ini biarlah Ibu kongsikan juga di belog ini. Bukan sekadar peringatan buat teman-teman sahabat muslimat tetapi haruslah ia menjadi garisukur dan muhasabah untuk diri Ibu sendiri malah juga sebagai panduan dalam Ibu mendidik dua muslimat anugerah dan amanah Allah ~ Cik Nur Dini dan Cik Nur Izzah. Semoga keduanya menjadi muslimah solehah. Ameen.

Sebagai muslimat amat penting untuk peka dengan imej diri Islami yang di pertonjolkan. Bagaimana harus peka? Rujuk dulu Kitab Alllah. Semak dulu Sabda Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Paling penting setelah dirujuk tentang perintah menutup aurat itu harus dapat mengerti untuk dihayati dan diamali. Haruslah ingat pertama-tamanya berhijab itu adalah perintah Allah subha na wata'ala. Ia wajib dilaksanakan. Ia bukan pilihan. 


Firman Allah:
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya[1232] ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 
(Al Ahzab : 59)
[1232]. Jilbab ialah sejenis baju kurung yang lapang yang dapat menutup kepala, muka dan dada.


Ikuti beberapa tips ini mengenai cara dan panduan bagi mereka yang berhijab:

Tudung haruslah menutupi keseluruhan rambut

Bagi mereka yang mengambil keputusan untuk bertudung, harus tahu garis panduan menutup aurat dengan betul, antaranya adalah pastikan anda memakai tudung dan menutup keseluruhan rambut tanpa ada sehelai rambut pun dapat dilihat. Ramai yang tidak sedar akan anak rambut yang terkeluar akibat tidak dilitupi dengan kemas, ingatlah bahawa anak rambut itu juga haram dilihat oleh lelaki bukan muhrim kita. Maka anda haruslah menutupi rambut dengan tudung penuh agar anak rambut dan juga rambut lain tidak dapat dilihat.

Pilihan tudung yang tepat
Jangan pilih tudung yang jarang dan dapat melihat rambut anda di dalam. Walaupun anda telah memakai tudung. Niat anda untuk menutup aurat haruslah beserta cara yang betul. Jangan disebabkan kerana mengikut peredaran zaman yang dikatakan memakai tudung adalah kerana fesyen barulah anda memilih untuk bertudung. Apabila berniat untuk menutup aurat, tudung yang dipilih juga harus kena dengan nawaitu kita. Jangan pilih tudung yang jarang dan digayakan tanpa memakai anak tudung yang betul. Anda masih dikira belum mampu menutup aurat dengan betul jika memakai tudung yang jarang.

Pakaian harus bersesuaian
Jangan memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan anda, kerana Islam menyarankan anda menutupi aurat dengan bertudung untuk menutupi sebahagian badan selepas memakai baju agar tidak menimbulkan fitnah bagi mereka yang melihat. Jangan memilih pakaian yang singkat sehingga menampakkan sebahagian tangan anda kerana itu merupakan aurat yang wajib dijaga semua wanita Muslim.

Pakaian yang singkat dari pinggul
Apabila bertudung, pemakaian juga harus dijaga, jangan memakai baju yang pendek sehingga di paras pinggang. Pastikan baju yang dipilih melebihi paras pinggul kita dan longgar. Ini kerana apabila kita memakai pakaian yang ketat dan pendek, apabila kita duduk ataupun merangkak, akan nampak sebahagian badan kita di belakang.

Pastikan tudung menutupi bahagian dada dan leher
Aurat yang seringkali dilupakan wanita muslim adalah menutupi sebahagian dada dan juga bahagian leher. Ramai yang tidak mengambil endah perkara sebegini sehinggakan mereka memakai tudung, namun masih boleh dilihat leher mereka kerana pemilihan tudung yang tidak sesuai. Pilih tudung yang lebih panjang untuk menutupi dada anda. Pastikan tiada belahan di bahagian leher agar tidak kelihatan kulit leher anda ketika memakai tudung.

Tidak menampakkan sanggul yang keterlaluan di atas kepala
Jika benar itu adalah rambut anda, cuba elakkan membuat sanggul yang terlalu tinggi di atas kepala kerana ianya hanya akan mengundang fitnah kepada mereka yang melihat. Ikat rambut anda dan simpulkan di tengah-tengah kepala dan baluti rambut anda dengan anak tudung yang boleh menutupi semua rambut sebelum memakai tudung.

Pilih tudung yang mengikut garis panduan Islam
Berikutan fesyen terkini yang kian meningkat dalam pemakaian tudung, banyak gaya tudung yang diilham dari pelbagai agama yang turut mempraktikkan penutupan rambut. Oleh yang demikian pastikan pilihan tudung anda mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

~ tak dapat nak dicatitkan sumbernya artikel ini, lupa pula entah dari mana Ibu baca. 

Sabtu, Mac 23, 2013

.: Ibu Surirumah menjadi Ibu Bekerja :.

Memasuki bulan kedua menjadi Pembantu Peribadi kepada Cik Puan Besar amat menjelekkan. Hari-hari Ibu menjadi tidak keruan. Semua serba tak kena. Serasa Ibu ingin sekali melangkah pergi meninggalkan dia begitu saja.

CPB mulutnya sahaja yang begitu tapi hatinya baik.... itu kata mereka. Mungkin ingin memujuk. Tapi....

Arrrggghhh... gusarnya hati...bila telinga didengarkan kata-kata seperti itu. Tak termakan dek pujukan mereka-mereka itu. Hati Ibu kuat mengatakan apa yang tersurat itu adalah sebenarnya yang tersirat. Dia punya penyakit hati. Maka ia terserlah pada luarannya.

Teringat Sabda Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wasallam: 

“Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” 
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)

Tapi sebenarnya yang semakin menambah gusar bila Ibu melihat diri Ibu sendiri. Ibu terkenang bahawa diri Ibu juga begitu. Tapi kepada siapa Ibu begitu? Kepada Bibik?

Malah paling menyedihkan lagi bila mengenang Ibu begitu kepada anak-anak Ibu sendiri....sobbsss...
Beginikah Ibu menangani amanah Allah? Begitu sekali penuh amarah? Tengking herdik yang tak sudah?

Dan akhirnya bila Allah jodohkan Ibu dengan CPB... baru Ibu rasakan jerihnya mendengar lempar jerkah.... Baru Ibu nak gunapakai kata-kata "how yelling and screaming would cancel listening". baru Ibu tahu makna kata lemah-lembut dan penyabar... sob, sob, sobbsss..

Ibu tak dapat mencoret panjang hari ini. Hari ini muhasabah diri perlu dijalani...sungguh iman itu tidak namanya iman jika belum diuji. Sabar itu bukan namanya sabar jika belum bertemu telingkah dan onar. Selama ini semuanya sepi dan mendatar. Ibu tak tahu dimana nak diletakkan geraf kesabaran Ibu. Sekarang barulah dapat diukur... sungguh diri Ibu juga perlu banyak mencari ubat untuk mencuci hati..



Umrah Ramadhan 1436H

Bismillah. Perjalanan Umrah Ramadhan 1436H (Jun2015) tidak seharusnya terbiar tanpa dicoretkan rententannya diatas kertas. Tapi, memang ...