Khamis, Jun 13, 2013

.: Irsyad Demam :.

Sudah lama Ibu tidak berpagi menyediakan sarapan anak-anak sebelum ke sekolah. Mengantuk benar. Tak kuat langsung bermujahadah melawan kantuk. Lewat-lewat waktu subuh baru Ibu terdaya bangun terkocoh-kocoh menyempurnakan solat. Waktu itu Abang dan Kakak sudah buka pintu grill untuk turun. Mereka cuma minum seteguk-dua air teh bancuhan bibik. Kasihan anak-anak Ibu…

Hari ini si kecil Irsyad pula sudah 5 hari demamnya tak kebah-kebah. Ini tak boleh jadi…
Berhari-hari ditinggal Irsyad berehat di rumah tidak ke sekolah. Tapi malangnya Isryad belum juga sihat. Rehat saja tanpa makan ubat. Mungkin itulah sebabnya demamnya melarat, tak kebah. Sebab tak makan ubat?

Pagi ini Ibu tidak mahu meinggalkan Irsyad sebelum memastikan dia kenyang makan, makanan ruji. Bukan makanan ringan dan siap diberikan ubat. Awal-awal lagi Cik Puan Besar dimaklumkan akan kelewatan Ibu kerana belahan jiwa Ibu nan seorang itu masih tinggi suhu badannya. Alhamdulillah CPB memahami.

Jadi pagi ini sebelum ke pejabat Ibu masakkan bubur ubi keledek untuk Irsyad. Usai masak, suam-suam kuku Ibu suapkan bubur nasi ubi keledek ke mulut Irsyad. Siap makan terus Irsyad diberikan ubat, bekal dari klinik Dr Aziz. 

Kesalan tak terucapkan bila anak-anak seperti terabaikan tanpa perhatian. Irsyad demam berhari-hari.  Entah mengapa naluri Ibu kuat mengatakan demam Irsyad itu demam biasa bukan demam viral atau apa pun yang merbahaya. Tapi ia tak terkawalkan dan melarat-larat. Mengapa? Mana Ibu yang sepatutnya memerhati Irsyad dari masa ke masa, agar suhu badannya lekas turun dan kebah. Mana Ibu yang seharusnya membelai sambil melayan Irsyad minum ubat? Sibuk benarkah Ibu? Berat benar tugasan Ibu hingga lelah bila di rumah dan tidak terdaya merawat anak? Gagalkah sudah Ibu? 


Khamis, Jun 06, 2013

.:isra' mikraj:.


Aduhaiii..
Hari ini terasa lambat benar waktu berlalu. Jenuh menunggu saat demi saat mendetik. Cik Puan Besar pula memang sentiasa berada dalam kantornya sahaja. Tiada temu janji hari ini. Begitu terasanya perlahan waktu bila dia Si CPB ada dalam kantornya. Ahhh… dugaan.


Hari ini 27 Rejab 1434. Pada tinta sejarah hari ini harus dikenang akan peristiwa Isra’ Mikraj Nabi s.a.w. Mari Ibu catitkan sedikit nota tentang Isra’ Mikraj ini supaya Ibu tidak lupa. Dan semoga juga apa yang masih belum Ibu hayati tentang peristiwa ini akan meresap ke dalam jiwa Ibu. Agar menjadi ilmu yang dapat Ibu sampaikan kepada hamba-hamba Allah, amanah dariNya yang telah lahir dari rahim Ibu.

01. Israk yakni perjalanan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

02. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Alhamdulillah walau agak terlambat kerana hanya selepas Isyak baru Ibu membuka lembaran (tapi masih sempat) untuk duduk berbulatan bersama anak-anak untuk bercerita tentang Isra’ Mikraj. Sungguh terdapat banyak kisah-kisah yang perlu diketahui dan difahami tentang perjalanan malam Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam  Antaranya cerita tentang solat 5 waktu, harum makam Mashitah, azab buat si derhaka di neraka dan banyak lagi yang Ibu kongsikan dengan anak-anak. Alangkah baiknya jika ayah tidak sibuk malam itu, dapat Ayah duduk bersama menokoknambah cerita Ibu..

p/s: buat sahabat yang singgah membaca entri ini… jika menyinggah kerana mencari isi untuk tajuk Isra’ Mikraj harap dapat google ke laman sesawang yang lebih lengkap maklumatnya. Coretan Ibu sekadar catatan harian yang menjadi nota ingatan dengan bahasa sendiri untuk peringatan sendiri supaya ada rasa ingin tahu, ada rasa untuk membuang kejahilan …wallahualam..

Selasa, Mei 21, 2013

.: Alangkah... :.

Apa nak cerita hari ni ya…

Sebenarnya hari ini dilalui dengan kerutinan dan kebiasaan yang sangat biasa-biasa sahaja. Tak ada apa menariknya dan tiada apa yang mengujakan pun. 

Ibu keluar rumah  seperti biasa pada waktu yang sama seperti hari-hari sebelumnya semenjak bertukar semula dari Ibu Surirumah menjadi Ibu Bekerja. Tapi Ibu agak kelewatan sampai ke pejabat hari ini. Kerana yang agak luarbiasanya adalah trafik hari ini. Pun begitu keadaan trafik yang ‘unpredictable’ itu pun masih termasuk dalam lingkungan perkara biasa kerutinan. The unpredictable traffic itu memang begitu selalu...sangat unpredictable. Makanya memang ia masih perkara biasa-biasa juga tentang perjalanan hari ini.

Jadi. Apa yang lainnya yang nak diceritakan hari ini?

Suatu kelainan hari ini adalah apabila, dipagi hari ketika Ibu masih termengah-mengah baru tiba ke meja kerja, telefon kecil berbunyi. Sewaktu deringannya ditangkap deria telinga, otak pula segera ligat  menduga-duga siapakah gerangan yang memanggil itu.

Agak mengejutkan. 

Tak sangka yang pemanggilnya akan memanggil. (Setelah tidak berapa lama sebelum itu beberapa panggilan Ibu tidak dijawab dan tidak dia memanggil semula.) 
Dan...tak terduga langsung akan mendengar tentang berita yang disampaikannya. Perasaan Ibu  pun jadi bercampurbaur. Semua rasa ada. Terkejut pada awalnya. Marah. Suspicious pun ada. Dan akhirnya sangat kesal dan sedih.

Kesal amat. Memang. 

Kerana semua ini adalah permasalahan pembantu rumah Aceh. Sakit hatilah nak menulis cerita tentang ini sepenuhnya.


Ibu ingin berhenti di sini. Sungguh tidak enak langsung rasa... jika hendak diteruskan cerita gempar yang sangat pathetic ini. Titik. Cukup disini sahaja untuk kali ini.

Alangkah... kalaulah hadir mereka ini dapat benar-benar meringankan beban...seringan poket yang kehilangan ongkos men'jemput' mereka..


Isnin, Mei 20, 2013

.: pakai hijab ikut syarie :.

Bismillah
Wahh... terasa seakan memandai sungguh Ibu nak tulis tentang hijab dan aurah. Sedang Ibu sendiri masih struggle, masih merangkak-rangkak, masih bertatih-tatih nak hijabkan aurah Ibu sesempurnanya. Apapun entri ini biarlah Ibu kongsikan juga di belog ini. Bukan sekadar peringatan buat teman-teman sahabat muslimat tetapi haruslah ia menjadi garisukur dan muhasabah untuk diri Ibu sendiri malah juga sebagai panduan dalam Ibu mendidik dua muslimat anugerah dan amanah Allah ~ Cik Nur Dini dan Cik Nur Izzah. Semoga keduanya menjadi muslimah solehah. Ameen.

Sebagai muslimat amat penting untuk peka dengan imej diri Islami yang di pertonjolkan. Bagaimana harus peka? Rujuk dulu Kitab Alllah. Semak dulu Sabda Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Paling penting setelah dirujuk tentang perintah menutup aurat itu harus dapat mengerti untuk dihayati dan diamali. Haruslah ingat pertama-tamanya berhijab itu adalah perintah Allah subha na wata'ala. Ia wajib dilaksanakan. Ia bukan pilihan. 


Firman Allah:
Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya[1232] ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 
(Al Ahzab : 59)
[1232]. Jilbab ialah sejenis baju kurung yang lapang yang dapat menutup kepala, muka dan dada.


Ikuti beberapa tips ini mengenai cara dan panduan bagi mereka yang berhijab:

Tudung haruslah menutupi keseluruhan rambut

Bagi mereka yang mengambil keputusan untuk bertudung, harus tahu garis panduan menutup aurat dengan betul, antaranya adalah pastikan anda memakai tudung dan menutup keseluruhan rambut tanpa ada sehelai rambut pun dapat dilihat. Ramai yang tidak sedar akan anak rambut yang terkeluar akibat tidak dilitupi dengan kemas, ingatlah bahawa anak rambut itu juga haram dilihat oleh lelaki bukan muhrim kita. Maka anda haruslah menutupi rambut dengan tudung penuh agar anak rambut dan juga rambut lain tidak dapat dilihat.

Pilihan tudung yang tepat
Jangan pilih tudung yang jarang dan dapat melihat rambut anda di dalam. Walaupun anda telah memakai tudung. Niat anda untuk menutup aurat haruslah beserta cara yang betul. Jangan disebabkan kerana mengikut peredaran zaman yang dikatakan memakai tudung adalah kerana fesyen barulah anda memilih untuk bertudung. Apabila berniat untuk menutup aurat, tudung yang dipilih juga harus kena dengan nawaitu kita. Jangan pilih tudung yang jarang dan digayakan tanpa memakai anak tudung yang betul. Anda masih dikira belum mampu menutup aurat dengan betul jika memakai tudung yang jarang.

Pakaian harus bersesuaian
Jangan memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh badan anda, kerana Islam menyarankan anda menutupi aurat dengan bertudung untuk menutupi sebahagian badan selepas memakai baju agar tidak menimbulkan fitnah bagi mereka yang melihat. Jangan memilih pakaian yang singkat sehingga menampakkan sebahagian tangan anda kerana itu merupakan aurat yang wajib dijaga semua wanita Muslim.

Pakaian yang singkat dari pinggul
Apabila bertudung, pemakaian juga harus dijaga, jangan memakai baju yang pendek sehingga di paras pinggang. Pastikan baju yang dipilih melebihi paras pinggul kita dan longgar. Ini kerana apabila kita memakai pakaian yang ketat dan pendek, apabila kita duduk ataupun merangkak, akan nampak sebahagian badan kita di belakang.

Pastikan tudung menutupi bahagian dada dan leher
Aurat yang seringkali dilupakan wanita muslim adalah menutupi sebahagian dada dan juga bahagian leher. Ramai yang tidak mengambil endah perkara sebegini sehinggakan mereka memakai tudung, namun masih boleh dilihat leher mereka kerana pemilihan tudung yang tidak sesuai. Pilih tudung yang lebih panjang untuk menutupi dada anda. Pastikan tiada belahan di bahagian leher agar tidak kelihatan kulit leher anda ketika memakai tudung.

Tidak menampakkan sanggul yang keterlaluan di atas kepala
Jika benar itu adalah rambut anda, cuba elakkan membuat sanggul yang terlalu tinggi di atas kepala kerana ianya hanya akan mengundang fitnah kepada mereka yang melihat. Ikat rambut anda dan simpulkan di tengah-tengah kepala dan baluti rambut anda dengan anak tudung yang boleh menutupi semua rambut sebelum memakai tudung.

Pilih tudung yang mengikut garis panduan Islam
Berikutan fesyen terkini yang kian meningkat dalam pemakaian tudung, banyak gaya tudung yang diilham dari pelbagai agama yang turut mempraktikkan penutupan rambut. Oleh yang demikian pastikan pilihan tudung anda mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

~ tak dapat nak dicatitkan sumbernya artikel ini, lupa pula entah dari mana Ibu baca. 

Sabtu, Mac 23, 2013

.: Ibu Surirumah menjadi Ibu Bekerja :.

Memasuki bulan kedua menjadi Pembantu Peribadi kepada Cik Puan Besar amat menjelekkan. Hari-hari Ibu menjadi tidak keruan. Semua serba tak kena. Serasa Ibu ingin sekali melangkah pergi meninggalkan dia begitu saja.

CPB mulutnya sahaja yang begitu tapi hatinya baik.... itu kata mereka. Mungkin ingin memujuk. Tapi....

Arrrggghhh... gusarnya hati...bila telinga didengarkan kata-kata seperti itu. Tak termakan dek pujukan mereka-mereka itu. Hati Ibu kuat mengatakan apa yang tersurat itu adalah sebenarnya yang tersirat. Dia punya penyakit hati. Maka ia terserlah pada luarannya.

Teringat Sabda Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wasallam: 

“Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” 
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)

Tapi sebenarnya yang semakin menambah gusar bila Ibu melihat diri Ibu sendiri. Ibu terkenang bahawa diri Ibu juga begitu. Tapi kepada siapa Ibu begitu? Kepada Bibik?

Malah paling menyedihkan lagi bila mengenang Ibu begitu kepada anak-anak Ibu sendiri....sobbsss...
Beginikah Ibu menangani amanah Allah? Begitu sekali penuh amarah? Tengking herdik yang tak sudah?

Dan akhirnya bila Allah jodohkan Ibu dengan CPB... baru Ibu rasakan jerihnya mendengar lempar jerkah.... Baru Ibu nak gunapakai kata-kata "how yelling and screaming would cancel listening". baru Ibu tahu makna kata lemah-lembut dan penyabar... sob, sob, sobbsss..

Ibu tak dapat mencoret panjang hari ini. Hari ini muhasabah diri perlu dijalani...sungguh iman itu tidak namanya iman jika belum diuji. Sabar itu bukan namanya sabar jika belum bertemu telingkah dan onar. Selama ini semuanya sepi dan mendatar. Ibu tak tahu dimana nak diletakkan geraf kesabaran Ibu. Sekarang barulah dapat diukur... sungguh diri Ibu juga perlu banyak mencari ubat untuk mencuci hati..



Jumaat, Januari 04, 2013

.: salju di korea :.

percutian ini sudah lama dirancang. sedari awal  tahun lagi. ketika itu ada promosi murahmurah AirAsia terbang ke Seoul. Ayah bersungguh merancangnya. semuanya dengan rezeki dan izin Allah jua.  apa pun, walau tiket telah ditempah dari awal tahun. persiapan untuk percutian ini cuma dimulakan sebulan sebelum bertolak. tapi kesemuanya berkisar keperluan pakaian tebal. kerana kami ingin berlari di dalam salji...ngeee..


persiapan kewangan, langsung Ibu tidak ambil pusing ~ semua itu digalas dibahu suami Ibu.... ya lah... i'm the lady of leisure kononnya..teehee!...

sementelah terkenang belasan tahun dulu angin dingin tanah Inggeris yang amat mengilukan. secara  fizikalnya pula Ibu cuma bersiapsedia agar tidak terkejut dengan keadaan musimsejuk di sana yang bakal  Ibu terokai. kata orang penduduk tempatan sendiri tak tertahankan melalui kedinginan iklim di musimsejuk dinegara mereka sendiri...

antara tempat-tempat yang Ibu jejaki di tanah Korea Selatan ini adalah Masjid Itaewon, Namsan Tower, Hanok Village, Kyungbok Palace, National Folk Museum, War Memorial Museum, Taman Tema Everland, Ski Resort, pusat  beli belah MyongDong,  Pusat Pemborong Dongdaemun, Kimchi School, Pulau Nami dan beberapa tempat yang Ibu lupa namanya. 

tapi sayang tiada catatan bagaimana cara menjejaki tempat-tempat ini jika ingin bercuti ala  backpakers. ini kerana percutian ini sepenuhnya dipandu oleh pemandu pelancong. Agashi pemandu pelancong kami pula memang agak keberatan mengajarkan  bagaimana jika kami ingin jalan sendiri. paling tidak dia sekadar menyuruh kami menaiki teksi. hmmm... 

memang tiada tips tentang selokbelok perjalanan dapat Ibu titipkan kerana kami setiap masa bersama agen pelancong. kesemuanya diuruskan oleh agen. kami  bergerak pun dengan bas pelancong. tiada pengalaman kepayahan untuk ke sana dan ke mari ~ tiada ke'teruja'an kembara backpackers langsung. jalan-jalan kami termasuklah makan minum halal dan ruang waktu serta tempat solat, kesemuanya sangat licin dan teratur diuruskan oleh agen pelancong kami yang sangat memahami keperluan pelancong muslim.

makanya tulisan kisah jalan-jalan ini akan Ibu kisarkan tentang pemerhatian dan iktibarnya. haruslah memang jalan-jalan di bumi Allah harus ada zikir dan fikir. Ingat Allah dan renung akan kejadian penciptaanNya...


Namsan Tower, Seoul ~ Dis 2012



inilah the biggest challenge  buat Ibu. mengharungi kedinginan bayu musimsejuk di Korea Selatan. begitu memeritkan. suhu purata selama 6 hari berada di Seoul -10°c (negatif 10 darjah celsius). Gigil, gigil, gigil..

antara hal paling utama yang berketuk dikepala Ibu. betapa di atas  bumi yang sama, dibawah langit yang sama, bagaimana Ya Rabb menjadikan suasananya sebegitu dingin di Korea Selatan. sedangkan di tanahair yang Ibu tinggalkan sekitar seminggu walau masih juga di atas bumi dan di bawah langit yang sama. cuma terpisah dengan jarak enam jam++ penerbangan. suasananya tetap panas. terik amat lagi.   

dan yang jatuh dari langitnya bumi Seoul bukan air tapi serpihan ais berjujuran melitupi dan memutih di atas aspalnya.  betapa pepohonnya semua jadi kaku tidak menyeri kerana habis botak keguguran dedaunan. namum bila tiba musim bunga pepohon yang kaku dan gersang itu kembali menyegar penuh seri dek hijau daunnya. 

tapi dibumi kelahiran yang tanahnya sekadar dibasahi air hujan dimusim tengkujuh... pepohon tidak pernah gersang tanpa dedaun... namun jika mulai gugurlah daunnya dan batangnya pula kian mereput maka pokok itu memang tidak akan kembali segar lagi... 

Subhanallah! suasana ini yang sangat, sangat bertentangan biar bumi Seoul bumi yang sama dengan Kuala Lumpur. langitnya juga langit yang sama. mentarinya juga tetap mentari yang sama nan satu itu. tapi Seoul dan Kuala Lumpur Disember ini mengalami kelainan suasana yang sangat bertentangan... 

Subhanallah, subhanallah, subhanallah...

bagaimana Allah mengaturkan perbezaan itu dimukabumi ini. di setiap tempat yang lain dengan suasana yang lain. di sana biar mentari masih menampakkan diri, iklimnya tetap dingin menjadikan alamnya membeku. sedang disini dibawah sinar mentari yang sama ia memancar terik dan melelehkan keringat. Sungguh Allah Maha Kuasa menjadikannya.

Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi mataair- mataair di bumi; kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanam-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanam-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.
[az-zumar:21]

begitulah ceritanya tentang alam yang dijadikan Ilahi Sang Maha Pencipta. Insya Allah memang mungkin ada penjelasan saintifiknya tapi apa yang Ibu renungkan disini adalah betapa Maha Kuasa Allah mengaturkan segalanya itu pada alam milikNya.

dikali lain akan Ibu ceritakan lagi kisah pengalaman ke Korea Selatan tentang iktibar yang boleh di ambil akan sikap orang-orang Korea Selatan itu sendiri. banyak yang boleh kita pelajari. tentang alam dan kehidupannya bumi Korea Selatan. 

Jumaat, Disember 14, 2012

.: celaka bagi orang solat :.

 
Bismillah..
Catatan hari ini tidak Ibu tulis sendiri. Ia hanya ditiru dan ditampal semula. Ibu jumpa di dinding mukabuku seorang kakak. Ia tentang solat. Ia sangat menampar Ibu. Ahh..  Betapa pun ditampar masih gagal mengambil pengajaran. Degil. Degil amat Ibu!

Maka  biarkan peringatan ini ditampal disini. Biar Ibu kuat-kuat mujahadah. Lawan nafsu. Lawan malas. Biar Ibu ingat apa guna solat tapi masih celaka... nanges...sobbbssss... 

Mari usaha supaya solat jadi mustajab. Jangan setakat nanges-nanges sahaja.. Fight it!!
 
Surah Al-Maun ayat 4 dan 5

فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤) ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِہِمۡ سَاهُونَ (٥)
“Kecelakaan bagi orang-orang yang melakukan solat (4)Yang lalai dari solat mereka (5)”

LALAI DARIPADA SOLAT
 
Ada beberapa peringkat seperti berikut:
1] LALAI TERUS... Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.
2] ADA MASA LALAI DAN ADA MASANYA ingat dan sedar, bahawa dia sedang bersembahyang... Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia...
3] BOLEH IKUT DAN MENYOROT APA YANG DIA BACA dalam sembahyang TETAPI TIDAK FAHAM akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan... Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai... Bila tidak faham, masakan boleh menghayati... Kalau tidak menghayati, masakan boleh ‘merasa’ apa-apa dengan Tuhan...
4] BOLEH FAHAM SEGALA APA YANG DIBUAT, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang... Sembahyang seperti ini sudah agak baik... Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang, kerana belum ada apa-apa ‘rasa’ dengan Tuhan... Khusyuk adalah ‘rasa’ bukan setakat tahu atau faham...
5] FAHAM AKAN SEGALA APA YANG DIBACA DAN DILAFAZKAN dalam sembahyang dan kadang-kadang ada ‘rasa’ tetapi tidak pada sepanjang masa... Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai... Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang, tetapi ‘rasa’ dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang....
6] SEMBAHYANG YANG TIDAK LALAI ITU IALAH YANG SENTIASA MEMPUNYAI ‘RASA’ dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam... Inilah sembahyang yang tidak lalai.... Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk....

LALAI BERPUNCA DARIPADA PENGARUH DUNIA... Kalau dunia berada di hati, amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang... DUNIA AKAN TERBAWA DALAM SEMBAHYANG.... Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada ‘rasa keduniaan’ seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya... ‘Rasa’ ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa khusyuk... Untuk dapatkan 'rasa' khusyuk, kita wajib kenal Allah yang kita sembah... SEKIRANYA KITA TIDAK KENAL TUHAN, HANYA SETAKAT TAHU DAN PERCAYA SAHAJA, kita tidak akan dapat rasa khusyuk... Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja, kerana tahu dan percaya itu perkara akal...
 sumber: https://www.facebook.com/ramli.joned

Umrah Ramadhan 1436H

Bismillah. Perjalanan Umrah Ramadhan 1436H (Jun2015) tidak seharusnya terbiar tanpa dicoretkan rententannya diatas kertas. Tapi, memang ...