Apa puncanya?
Lupakah kita bahawa memaafkan itu sama sekali tidak akan merendahkan martabat? Malahannya jika difikirkan memaafkan itu lebih memuliakan darjat kita disisi Allah. Ataukah sebenarnya kita terlalu dikuasai oleh keegoaan untuk memperlihatkan kekuatan kita di tengah manusia?
Lupakah pula kita bahawa sebesar-besar dosa yang kita lakukan biar memuncak, melangit tingginya jika kita mohon ampun Allah tetap terima, dan sekeji-keji perbuatan kita hingga penuh melitupi bumi selagi tidak syirik Allah tetap juga terima asal kita mahu kembali dan memohon ampun dariNya. Sekadar kesilapan manusia terhadap kita dengan kejahilannya maafkanlah sahaja dia.
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik
untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya
seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa.
(yaitu) orang-orang
yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan
amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang
berbuat kebaikan.”
Jika firman Allah itu dengan jelas dipandukan kepada kita
bahawa bersegera beramal dengan kebaikan untuk mendapat
keampunan dan syurgaNya. Maka bersegeralah kita mahunya, jangan leka lagi. Segera berbuat
kebaikan supaya mendapat keampunan dan syurga Allah. Untuk siapa syurga itu
disediakan? Untuk mereka yang bertaqwa. Siapa mereka yang bertaqwa? Dipandukan pula
Allah di dalam ayat yang berikutnya. Telah Allah gariskan bagaimana yang dikatakan orang yang bertaqwa itu dalam ayat tersebut. Sangat jelas dan straight forward. Pun begitu, dari ayat itu paling ingin ditekankan di sini adalah
pada orang-orang yang menahan amarah dan memaafkan kesalahan orang lain.
Tidakkah sampai pesanan ini kepada kita? Masihkah kita harus melayan emosi
kemarahan dan keegoan kita itu? Sombongkah kita untuk menjadi orang yang
bertaqwa di sisi Allah dan mendapat syurga sebagai balasannya.
Amarah dan ego itu duduknya memang bukan di aqal. Tapi pada qolbu…
qolbu itu dilitupi oleh nafsu. Nafsu itu diapi-apikan oleh bisikan syaitan.
Nyatanya syaitan itu makhluk derhaka yang Allah janjikan neraka. Diberi izin
untuk memperdaya, patutkah kita membiarkan diri terpedaya?
Jika kita mendahulukan Allah dalam segala hal dalam kehidupan harian kita
pasti tidak menjadi kesukaran untuk memaafkan walau sedahsyat manapun kesilapan
orang terhadap kita. Dan kerana kita beriman kepada Allah walau dalam
keadaan kita mampu untuk membalas
perbuatan orang itu sekalipun kita tetap akan berani untuk memberi kemaafan.
Surah An Nahl Ayat 126 Allah berfirman:
“Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang
sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar,
sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar.”
Sesukar manapun memberi kemaafan, sukar lagi menurutkan rasa untuk menyimpan sakit hati dan dendam. Perasaan-perasaan ini tidak akan membawa diri kita maju. Buatlah muhasabah biar nampak kekurangan dan kelemahan diri sendiri takut-takut di masa hadapan kita pula terjebak melakukan dosa yang lebih buruk dan keji daripada orang yang tidak ingin kita maafkan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan