Selasa, Disember 31, 2013

.: diari baru :.

Hari ini hari terakhir 2013 dilalui. Esok Ibu akan buka diari baru. Penuh harapan diari  baru ingin Ibu lakari dengan ceritaceriti berwarnawarni.  Ibu sangat ingin kurangkan cerita lalai dan malas. Paling kuat kali ini Ibu ingin  belajar berjimat cermat, menyimpan dan mengumpul dana untuk jalan-jalan dan melancong lebih banyak bulan-bulan mendatang nanti. Apalagi hari ini anak-anak telah Ibu bawa ke Jabatan Imigresen untuk perbaharui passport mereka. Penuh harapan Ibu agar passport mereka akan bukan sekadar untuk ke Singapura tapi juga ke tempat-tempat lain yang menjadi impian kami seanak-beranak...weeehuuu... 
Diari baru itu juga kalau dapat, penuh harapan ingin Ibu isinya dengan cerita daya usaha Ibu yang lebih bersemangat baru demi meraih pendapatan hasil keringat Ibu sendiri. Mudah-mudahan Allah Ya Wahab beri limpah kurniaNya untuk Ibu merealisasikan cita-cita yang satu ini. Dapat seminggu sekali pun jadilah. Biar ada jua yang dapat Ibu jadikan tabungan. Semoga Ibu kuat untuk bermujahadah dalam mencapainya. Mudah-mudahan Allah Ya Qayum menyirami qalbu Ibu dengan semangat yang jitu. 
Diari baru itu juga penuh harapan ingin Ibu coretkan kisah harian yang banyak ceritanya tentang penemuan-penemuan formula 'R' yang tidak putus-putus. Semoga hari ke hari kesemuanya formula demi formula 'R' itu akan terus-terusan ditemui tanpa henti. Bila ia sentiasa ditemui tentu makin kurang cerita malas dan lalai ya!
Juga penuh harapan Ibu agar diari baru ini tidak akan banyak rona-rona masalah kesihatan. Biar Ibu serta anak-anak sentiasa memakai mahkota keafiatan. Mudah-mudahan Allah Ya Shafiy memberi nikmat kesihatan buat Ibu seisi keluarga.

Begitulah adanya harapan bercampur azam.  Biar ia tercatat di sini supaya dapatlah ia menjadi penyebab untuk Ibu tidak mengabaikan hasrat yang telah Ibu tanamkan demi membawa diri  berubah dan kembali lebih dekat kepada RedhaNya... semangat!! 

Selasa, Oktober 01, 2013

.: Ibu surirumah kembali :.

Memulakan semula hari pertama sebagai Ibu surirumah hari ini agak membosankan. Tidak banyak hal yang dapat mengisi masa Ibu. Bibik masih pengurus housekeeping dirumah ini. Ibu cuma memasak dan menghantar serta menjemput Irsyad sahaja. Selebihnya masa Ibu terbuang begitu-begitu sahaja. Melepak-lepak dan melepak-lepak. Begitulah Ibu terus bermalas-malasan. 
 
Entah berapakali sepatutnya seseorang itu mendapat peluang hari pertama. Buat Ibu ia sudah berulang-ulang kali. Hingga pada saat ini serasa Ibu tidak mahu lagi menempuh hari pertama lagi. Selalu saja rasanya Ibu mensia-siakan waktu pada hari pertama itu... teeheehee...

Ibu harap Ayah sudah mendapatkan tiket pulang ke Aceh untuk bibik. Biarlah Ibu sibuk dengan masalah rumahtangga sendiri selepas ini.

Semoga sekali ini segalanya akan bertambah  baik. Semoga ada saja sebab untuk Ibu bersemangat, beristiqamah berusaha menjadi yang  lebih baik dan lebih baik dan lebih baik... fite it!!



Jumaat, September 27, 2013

.: hilang ingatan lagi :.

Semalam petang di rumah memang ada sesuatu yang ingin  Ibu tuliskan sangat. Sementelah komputer di atas meja dalam kamar Ibu yang penuh habuk itu rosak. Ibu perlu pena dan kertas. Tapi ketika itu kertas dan pensel tidak berada dekat dengan Ibu. Malas benar mengangkat punggung Ibu yang  berat untuk mengambilnya. Dan susunan kata-kata cuma  berada dalam kepala.

Malang sungguh hari ini bila telah berada di meja kerja ini puas Ibu mengingatkan tentang hal apa yang nak ditulis. Ibu tak jumpa cari yang Ibu hilang. aahhh... hilang ingatan lagi!!
Hingga ingatan pulih kembal, coretan akan disambung...

Rabu, September 25, 2013

.: kenapa sukar memaafkan? :.

Kenapa sukar memaafkan?
Apa puncanya?

Lupakah kita bahawa memaafkan itu sama sekali tidak akan merendahkan  martabat? Malahannya jika difikirkan memaafkan itu lebih memuliakan darjat kita disisi Allah. Ataukah sebenarnya kita terlalu dikuasai oleh keegoaan untuk memperlihatkan kekuatan kita di tengah manusia?

Lupakah pula kita bahawa sebesar-besar dosa yang kita lakukan biar memuncak, melangit tingginya jika kita mohon ampun Allah tetap terima,  dan sekeji-keji perbuatan kita hingga penuh melitupi bumi selagi tidak syirik Allah tetap juga terima asal kita mahu kembali dan memohon ampun dariNya. Sekadar kesilapan manusia terhadap kita dengan kejahilannya maafkanlah sahaja dia.

Surah Al-Imran Ayat 133-134 Allah berfirman:-
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa.
(yaitu) orang-orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Jika firman Allah itu dengan jelas dipandukan kepada kita bahawa bersegera beramal dengan kebaikan untuk mendapat keampunan dan syurgaNya. Maka bersegeralah kita mahunya, jangan leka lagi. Segera berbuat kebaikan supaya mendapat keampunan dan syurga Allah. Untuk siapa syurga itu disediakan? Untuk mereka yang bertaqwa. Siapa mereka yang bertaqwa? Dipandukan pula Allah di dalam ayat yang berikutnya. Telah Allah gariskan bagaimana yang dikatakan orang yang bertaqwa itu dalam ayat tersebut. Sangat jelas dan straight forward. Pun begitu, dari ayat itu paling ingin ditekankan di sini adalah pada orang-orang yang menahan amarah dan memaafkan kesalahan orang lain. Tidakkah sampai pesanan ini kepada kita? Masihkah kita harus melayan emosi kemarahan dan keegoan kita itu? Sombongkah kita untuk menjadi orang yang bertaqwa di sisi Allah dan mendapat syurga sebagai balasannya.   

Amarah dan ego itu  duduknya memang bukan di aqal. Tapi pada qolbu… qolbu itu dilitupi oleh nafsu. Nafsu itu diapi-apikan oleh bisikan syaitan. Nyatanya syaitan itu makhluk derhaka yang Allah janjikan neraka. Diberi izin untuk memperdaya, patutkah kita membiarkan diri terpedaya?

Jika kita mendahulukan Allah dalam segala hal dalam kehidupan harian kita pasti tidak menjadi kesukaran untuk memaafkan walau sedahsyat manapun kesilapan orang terhadap kita. Dan kerana kita beriman kepada Allah walau dalam keadaan  kita mampu untuk membalas perbuatan orang itu sekalipun kita tetap akan berani untuk memberi kemaafan.
Surah An Nahl Ayat 126 Allah berfirman:
“Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar.” 

Sesukar manapun memberi kemaafan, sukar lagi menurutkan rasa untuk menyimpan sakit hati dan dendam. Perasaan-perasaan ini tidak akan membawa diri kita maju. Buatlah muhasabah biar nampak kekurangan dan kelemahan diri sendiri takut-takut di masa hadapan kita pula terjebak melakukan dosa yang lebih buruk dan keji daripada orang yang tidak ingin kita maafkan itu. 

Memberi kemaafan tidaklah bermakna kita redha dengan kelakuan buruk orang terhadap kita. Tetapi apabila kita rela memaafkan bermakna kita telah meruntuhkan kesakitan kemarahan dan ego dan bersedia untuk meneruskan perjalanan menuju redha Allah. Release the pain and move on!  

Selasa, September 24, 2013

.: Tom Yam Ikan Merah :.

Sejak akhir-akhir ini memang tiada terilhamkan untuk mencoret lakaran ceritera apa di belog. Sehingga Ibu merasa sebenarnya Ibu ini tidak ada bakat langsung untuk menulis. Cuma perasan sahaja selama ini macam pandai sangat menulis. 

Terkebil-kebil masih memikirkan apa agaknya yang boleh jadi cerita menarik hari ini. Mungkinkah cerita tentang tomyam ikan merah untuk makan malam semalam itu cerita menarik?

Kisah tomyam ikan merah semalam mebuatkan Ibu teringin menulis tentangnya adalah kerana halnya memang mengusik hati kecil Ibu. Tomyam ikan merah masakan Ibu begitu dinikmati dengan penuh perasaan semalam oleh anak-anak. Kakak memuji-muji kesedapannya. Izzah pula minta tambah nasi lagi. Malah Ayah si Cinta Hati Ibu juga makan bertambah semalam. 

Manakan tidak bahagia rasa hati Ibu melihat suasana sebegini. Bila airtangan Ibu dinikmati bersungguh-sungguh penuh selera begitu. Mungkin ini sedikit sebanyak ada kena-mengena dengan niat (biniyyat lillahita'ala) kerana ingin anak-anak makan kenyang dan tidak kesakitan menahan keroncong dalam perut. Dan benar memang niat itu telah menjadikan ia tenaga untuk Ibu melaksanakannya tanpa rasa lelah.  Hilang lelah dibadan, tambah semangat memasak, tambah bahagia dalam hati. Lain kali Ibu akan selalu-selalu masak tomyam ikan merah...!

Ya Rahman... ini semua kurniaan Mu... Subhanallahiwabihamdihi... Subhanallahiladzim...   

Rabu, September 18, 2013

.: Ilham Catatan Harian :.

Kalau entri di belog tak berkemaskini berbulan-bulan lamanya, apakah sebenarnya masalahnya ya? Ketandusan ilham? Kehilangan mood? Dan kalau ilham dan mood itu datang pun kebelakangan ini ceritanya lebih banyak cerita sayu, lebih banyak cerita mengadu. Dan September ini pun Ibu memang sedang dilanda sayu. Sedih dan pilu.

Tapi tak apa entri hari ini bukan untuk bersayupilu dan mendayu-dayukan kata. Papan kekunci ditekan sekali ini memang bermula begitu-begitu sahaja. Tanpa ilham. Tapi papan kekunci tetap ditekan-tekan menjadi susunan bicara untuk entri kali ini yang entah hingga saat ini masih tidak tahu apa yang patut jadi ceriteranya. Ramai orang berbelog. Berkisah pelbagai hal. Berkongsi ilmu dan pengalaman. Atau sekadar mencatat perjalanan harian. Ibu pula bagaimana? Entahlah.

Mulanya Ibu berbelog kerana memang Ibu ingin mencatat journal harian Ibu. Seperti dulu-dulu. Itu memang sudah menjadi kelaziman sejak dibangku sekolah lagi hingga Ibu jejak kaki ke kolej. Setiap hari atau selang beberapa hari pasti ada kisah yang Ibu lalui dititipkan ke dalam journal. Journal Ibu bukan untuk tatapan sesiapa. Sekadar luahan hati sendiri yang nantinya Ibu sendiri yang akan membacanya. Tapi di sini, di dalam belog ini entah untuk apa Ibu menulisnya? Sudahlah ia jarang sekali dikemaskini. Pun jika Ibu tidak menulis Ibu rasa resah gelisah ingin benar menyusun ayat pula. Kisah pulak… biarlah.

Semalam Ibu baru menghabiskan novel sejarah kisah Bilal bin Rabah. Kisahnya sangat menyayat hati. Ibu memamg menitiskan air mata ketika babak tertentu dalam kisah Bilal ini. Sekarang Ibu seperti ketagihan ingin mencari bahan bacaan baru. Mungkin membaca dapat membantu menginovasikan ilham untuk Ibu menulis, siapa tahu?... 

Khamis, September 05, 2013

.: kek cawan oren :.

Bismillah.

Lama sudah tidak mencatat resepi pilihan di belog ini. Tadi malam, agak lewat Ibu memulakan projek kek cawan oren ini.

Pagi ini jadi sarapan untuk anak-anak. Sebahagiannya Ibu bekalkan buat Ayah ke pejabat dan sebahagiannya Ibu bawa ke TTDI Plaza.

Untuk rekod Ibu catatkan resepinya disini. Resepi asalnya dicedok dari Chef Noraini Zakaria. Sayang sekali Ibu forgot to snap the pixies of the cute Orange Cuppies… lainkalilah saja ya!

250g mentega
180g gula kastor
4  biji telur gred A
230g tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik
½ sudu teh soda bika
2 sudu teh emulco oren
1 sudu teh pewarna oren
30g susu segar
Choc chip secukupnya sebagai hiasan

Pukul mentega dengan gula hingga kembang dan ringan
Masukkan telur sebiji demi sebiji sambil mengaul adunan
Masukkan tepung yang telah diayak bersama serbuk penaik, diikuti susu dan emulco oren dan pewarna.
Sudukan adunan ke dalam acuan kek cawan yang telah dialas kertas kek cawan hingga 2/3 penuh.
Bakar kek cawan selama 20-25 min dengan suhu 160°c

Selasa, September 03, 2013

.: sudah berakhir... :.

Bismillah.

Ramadan sudah pergi. Lama sudah ia meninggalkan Ibu. Malah Syawal juga sudah dipenghujungnya. Amat malang sekali tiada perubahan atau pencapaian yang dapat Ibu banggakan terhadap diri sendiri...

Dan.. akhirnya kerana khilaf diri yang sukar mengajar diri sendiri akan erti sabar. Hari ini akhirnya Ibu terus kalah ekoran turutan nafsu Ibu nan kelmarin itu... Ya. Kelmarin Ibu telah tewas dengan nafsu amarah sendiri. Malah Ibu telah siap menaipkan surat terakhir Ibu untuk dia... tapi ia tetap tertahankan tak terserah kepada CPB.

Jika diturut kehendak hati memang sebenar-benar hakikatnya sudah lama Ibu ingin pergi meninggalkan dia... tapi kerana ketegasan sikap Cinta Hati Ibu membuat Ibu menahan keputusan...

Detik demi detik Ibu lalui dengan kepayahan gejolak dalam hati yang penuh geram..

Akhirnya hari ini sudah tetap bahawa Ibu akan pergi juga... Apapun keputusan yang tertahan-tahan itu bukan Ibu yang muktamadkan...tetapi CPB yang sendiri memutuskannya... keputusannya penuh benci menyuruh Ibu pergi sahaja selepas peristiwa kelmarin itu. 

Seakan tidak percaya pula... CPB akan Ibu tinggalkan akhirnya... lebih-lebih lagi bila dia sendiri yang meminta Ibu untuk pergi.  Ketika Ibu telah menyiapkan surat terakhir Ibu yang tak terserahkan itu... tiba-tiba Ibu pula yang menerima sepucuk surat. Tak mengapalah. Biar keputusannya memang menyakitkan hati tapi Ibu tidak pun berdukacita... malah ke saat ini hati masih geram dan marah...

Semoga dapat Ibu lupakan dia dan akhlaknya yang sangat Ibu benci. Tapi tidak harus Ibu melupakan pengalaman untuk diambil iktibar atas setiap perkara yang terjadi di sini. Semoga dapat Ibu terus memperbaiki diri...

Sabtu, Ogos 24, 2013

.: Hadiah dari Singapura :.

Hari itu bila tetamu dari Singapura datang memang seronok. Tapi dalam seronok bimbang juga rasa hati jika Ibu tak pandai melayan tetamu-tetamu ini sebaik mungkin. Bukannya apa setiap kali cuti-cuti ke Singapura dan menjadi tetamu mereka, layanan mereka terhadap kita sekeluarga sangat superb! Melebihi kelas 5 bintang, gitu khidmatnya. Malulah kalau di sini di villa buruk kami melayan mereka tidak setimpal layanan ketika kami di rumah mereka. 

Bila kali ini Ibu pula menjadi tuan rumah menggelisah juga jiwaraga kalau-kalau ada kurang layanan Ibu untuk mereka. Mudah-mudahan mereka berpuashati dan tidak serik menjadi tetamu Ibu.

Bagusnya orang Singapura ini, bukan sahaja kalau Ibu ke tempat mereka ada saja hadiah dan buah tangannya. Bertandang ke Kuala Lumpur dan menjadi tetamu Ibu pun ada buah tangannya. Kali ini Ibu dihadiahkan pemarut sayuran. Mereka beli di Isetan di Orchard Rd. Bagus betul gajet dapur hadiah dari mereka ni. Ada tiga dalam satu pula tu pemarutnya. Parut kasar, parut halus, parut paling halus. Hebat! Sangat meringankan dan mempercepatkan kerja-kerja didapur. Baru-baru ini Ibu gunakan untuk memarut lobak merah untuk dijadikan hiasan kek lobak merah Ibu. Ooohhh… sukanya Ibu dengan hadiah yang satu ini.






Jumaat, Ogos 02, 2013

.: Dipenghujung Ramadhan :.

24 Ramadan 1434h

Sayu...

Hati ini makin sayu. Mengenangkan nasib diri. Orang lain berhempas pulas mengejar lailatul qadr... tapi Ibu..

Sobb...sobb..sobb..

Khamis, Julai 18, 2013

.: 10 Ramadan Pertama Tahun Ini :.

Bismillah..

Hari ini sudah 9 Ramadan 1434H, hati Ibu sangat haru dan sayu mengenang ibadah yang dijalani sepertiga pertama Ramadan kali ini.

Tak dapat tidak untuk Ibu menyangkal keharubiruan dan celaru ini banyak dipuncakan oleh Cik Puan Besar dalam mengharungi sepertiga pertama Ramadan tahun ini. Perkara mudah disusahkan. Perkara remeh dirumitkan. Lempar herdik berterusan. Semua orang jadi taruhan kesalahan.

Pun begitu bukan Ibu tidak terfikir bahawa semua ini tidak sepatutnya Ibu salahkan CPB jika Ibu gagal menghadapi ibadah Ramadan dengan tekun dan tawaduk. Tingkah dan akhlaknya yang menyakitkan jiwa itu harus dapat Ibu jadikan sempadan untuk belajar menahan diri. Itukan matlamatnya ujian berpuasa. Mengawal dan menahan diri. Aduhai, bukan Ibu tidak mencuba. Ibu rasa sudah berusaha keras untuk menepis dan mengawal nafsu amarah dan beremosi mengikut rentak CPB. Sedih pilu amat terasa bilamana memang Ibu telah gagal. Gagal mengawal semuanya. Mengutuk dalam hati. Menyumpah dalam diam. Jangan ada kelibat yang mendekat Ibu mula mengumpat. Begitulah saban hari... sangat haru dan pilu.

Dimanakah harus Ibu letakkan pengharapan limpahan rahmat dalam 10 hari pertama Ramadan ini? Entahkan diterima entahkan tidak. Mudah-mudahan masih ada ruang untuk Ibu. Yakin akan Ya Wahab yang Maha Pengurnia. Dialah juga Ya Alim yang juga Maha Mengetahui. Moga rahmatNya dilimpahkan buat Ibu.

Ya Ghafar...ampuni dosa-dosaku...

Rabu, Julai 03, 2013

.: catatan hari ini :.

Bismillah.

7:00pagi~Hari ini masak lemak cili padi ayam kampung dan menggoreng sayur brokoli sebelum bergegas ke pejabat.

9:15pagi~Agak kelewatan juga Ibu bersiap untuk keluar ke pejabat pagi ini. Sampai diparkir bangunan TTDI Plaza pun jam sudah mendetik 9:05pagi. Naik keluar dari tingkat parkir ke muka pintu lif, bertembung pula dengan Cik Puan Besar. Hurmm… apalagi, biarpun dalam seminggu tak sekali Ibu kelewatan tetap juga Ibu ditegurnya. Pun bukanlah Ibu lewat benar pagi ini.. sekadar 5-10minit lewatnya….haishhh..

Petang nanti cadangnya Ibu ingin balik tepat-tepat jam 6:00petang, tapi pagi ini Ibu sudah kelewatan masuk ke pejabat… gagal sudah! Eheh…

Tapi apapun seboleh mungkin Ibu tetap ingin pulang tepat-tepat jam 6:00petang. Ibu tak ingin lewat untuk hadir ke usrah Lovely Sisters Big Circle malam nanti.

©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©

6:10petang~Indahnya cuaca petang hari ini membuat hati Ibu bahagia. Trafik lancar dan kereta Ibu pandu terluncur laju. Matahari petang bersinar lembut memancar ke wajah kusam Ibu jadi berseri-seri.  Bunga-bunga bahagia dalam hati makin menguntum ingin segera sampai ke rumah.

7:35malam~Usai bersegar-segar dan berwuduk, Maghrib pun tertunaikan. Ayah membuka mulut mempelawa untuk dihantar. Bunga-bunga bahagia yang menguntum tambah kembang.
                                                                                                         
Anak-anak Ibu tinggalkan dengan berpesan supaya makan malam dan menyiapkan kerja sekolah. Kasihan anak-anak belahan jiwa terpaksa Ibu tinggalkan malam ini demi bulatan kemanisan dalam raudhah yang ingin Ibu hadiri.

Semoga Allah redha…




Ayam Masak Hitam

Bismillah.. Ayam Masak Hitam. Ini adalah antara koleksi resepi yang Ibu simpan sekian lama. Ibu baru sangat berkahwin waktu mendapatkan ...