Sabtu, Februari 15, 2014

.: buntu :.

 Bismillah.

Begitu lama belog ini ditinggalkan sepi tanpa cerita-ceritinya. Entah kenapa begitu sukar sekali untuk duduk disini dan mengarang walau sependek-pendek pun karangan. Yalah... cuma catatan journal harian.  Kenapa entah begitu payah. Membaca juga kini jadi problem yang begitu sukar untuk diatasi. Malas yang amat melanda seluruh tubuhbadan lesu tapi semakin memboyot Ibu ini. Semangat!! Hilang ke mana itu semangat tak jumpa dicari...

Tapi ada satu yang dapat Ibu catatkan sebagai kebanggaan. Ibu mengaji hari-hari sekarang! Setiap hari. Bukan sekadar mengaji tiap-tiap hari. Tapi satu juz satu hari dapat Ibu habiskan. Seronoknya rasa.

Pun begitu Ibu tak seharusnya lekas berpuashati dengan pencapaian itu. Harus terus kuat mujahadah untuk istiqamah. Bukan sekadar memastikan ia berterusan tapi juga memastikan penambahbaikannya juga. Itulah sebenarnya istiqamah.

Ya Allah, Ya Wahab... Bantulah aku untuk dapat terus mengingatiMU, mensyukuri nikmatMU dan memperbaiki ibadahku terhadapMU...

Amin.

Selasa, Disember 31, 2013

.: diari baru :.

Hari ini hari terakhir 2013 dilalui. Esok Ibu akan buka diari baru. Penuh harapan diari  baru ingin Ibu lakari dengan ceritaceriti berwarnawarni.  Ibu sangat ingin kurangkan cerita lalai dan malas. Paling kuat kali ini Ibu ingin  belajar berjimat cermat, menyimpan dan mengumpul dana untuk jalan-jalan dan melancong lebih banyak bulan-bulan mendatang nanti. Apalagi hari ini anak-anak telah Ibu bawa ke Jabatan Imigresen untuk perbaharui passport mereka. Penuh harapan Ibu agar passport mereka akan bukan sekadar untuk ke Singapura tapi juga ke tempat-tempat lain yang menjadi impian kami seanak-beranak...weeehuuu... 
Diari baru itu juga kalau dapat, penuh harapan ingin Ibu isinya dengan cerita daya usaha Ibu yang lebih bersemangat baru demi meraih pendapatan hasil keringat Ibu sendiri. Mudah-mudahan Allah Ya Wahab beri limpah kurniaNya untuk Ibu merealisasikan cita-cita yang satu ini. Dapat seminggu sekali pun jadilah. Biar ada jua yang dapat Ibu jadikan tabungan. Semoga Ibu kuat untuk bermujahadah dalam mencapainya. Mudah-mudahan Allah Ya Qayum menyirami qalbu Ibu dengan semangat yang jitu. 
Diari baru itu juga penuh harapan ingin Ibu coretkan kisah harian yang banyak ceritanya tentang penemuan-penemuan formula 'R' yang tidak putus-putus. Semoga hari ke hari kesemuanya formula demi formula 'R' itu akan terus-terusan ditemui tanpa henti. Bila ia sentiasa ditemui tentu makin kurang cerita malas dan lalai ya!
Juga penuh harapan Ibu agar diari baru ini tidak akan banyak rona-rona masalah kesihatan. Biar Ibu serta anak-anak sentiasa memakai mahkota keafiatan. Mudah-mudahan Allah Ya Shafiy memberi nikmat kesihatan buat Ibu seisi keluarga.

Begitulah adanya harapan bercampur azam.  Biar ia tercatat di sini supaya dapatlah ia menjadi penyebab untuk Ibu tidak mengabaikan hasrat yang telah Ibu tanamkan demi membawa diri  berubah dan kembali lebih dekat kepada RedhaNya... semangat!! 

Selasa, Oktober 01, 2013

.: Ibu surirumah kembali :.

Memulakan semula hari pertama sebagai Ibu surirumah hari ini agak membosankan. Tidak banyak hal yang dapat mengisi masa Ibu. Bibik masih pengurus housekeeping dirumah ini. Ibu cuma memasak dan menghantar serta menjemput Irsyad sahaja. Selebihnya masa Ibu terbuang begitu-begitu sahaja. Melepak-lepak dan melepak-lepak. Begitulah Ibu terus bermalas-malasan. 
 
Entah berapakali sepatutnya seseorang itu mendapat peluang hari pertama. Buat Ibu ia sudah berulang-ulang kali. Hingga pada saat ini serasa Ibu tidak mahu lagi menempuh hari pertama lagi. Selalu saja rasanya Ibu mensia-siakan waktu pada hari pertama itu... teeheehee...

Ibu harap Ayah sudah mendapatkan tiket pulang ke Aceh untuk bibik. Biarlah Ibu sibuk dengan masalah rumahtangga sendiri selepas ini.

Semoga sekali ini segalanya akan bertambah  baik. Semoga ada saja sebab untuk Ibu bersemangat, beristiqamah berusaha menjadi yang  lebih baik dan lebih baik dan lebih baik... fite it!!



Jumaat, September 27, 2013

.: hilang ingatan lagi :.

Semalam petang di rumah memang ada sesuatu yang ingin  Ibu tuliskan sangat. Sementelah komputer di atas meja dalam kamar Ibu yang penuh habuk itu rosak. Ibu perlu pena dan kertas. Tapi ketika itu kertas dan pensel tidak berada dekat dengan Ibu. Malas benar mengangkat punggung Ibu yang  berat untuk mengambilnya. Dan susunan kata-kata cuma  berada dalam kepala.

Malang sungguh hari ini bila telah berada di meja kerja ini puas Ibu mengingatkan tentang hal apa yang nak ditulis. Ibu tak jumpa cari yang Ibu hilang. aahhh... hilang ingatan lagi!!
Hingga ingatan pulih kembal, coretan akan disambung...

Rabu, September 25, 2013

.: kenapa sukar memaafkan? :.

Kenapa sukar memaafkan?
Apa puncanya?

Lupakah kita bahawa memaafkan itu sama sekali tidak akan merendahkan  martabat? Malahannya jika difikirkan memaafkan itu lebih memuliakan darjat kita disisi Allah. Ataukah sebenarnya kita terlalu dikuasai oleh keegoaan untuk memperlihatkan kekuatan kita di tengah manusia?

Lupakah pula kita bahawa sebesar-besar dosa yang kita lakukan biar memuncak, melangit tingginya jika kita mohon ampun Allah tetap terima,  dan sekeji-keji perbuatan kita hingga penuh melitupi bumi selagi tidak syirik Allah tetap juga terima asal kita mahu kembali dan memohon ampun dariNya. Sekadar kesilapan manusia terhadap kita dengan kejahilannya maafkanlah sahaja dia.

Surah Al-Imran Ayat 133-134 Allah berfirman:-
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa.
(yaitu) orang-orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.”

Jika firman Allah itu dengan jelas dipandukan kepada kita bahawa bersegera beramal dengan kebaikan untuk mendapat keampunan dan syurgaNya. Maka bersegeralah kita mahunya, jangan leka lagi. Segera berbuat kebaikan supaya mendapat keampunan dan syurga Allah. Untuk siapa syurga itu disediakan? Untuk mereka yang bertaqwa. Siapa mereka yang bertaqwa? Dipandukan pula Allah di dalam ayat yang berikutnya. Telah Allah gariskan bagaimana yang dikatakan orang yang bertaqwa itu dalam ayat tersebut. Sangat jelas dan straight forward. Pun begitu, dari ayat itu paling ingin ditekankan di sini adalah pada orang-orang yang menahan amarah dan memaafkan kesalahan orang lain. Tidakkah sampai pesanan ini kepada kita? Masihkah kita harus melayan emosi kemarahan dan keegoan kita itu? Sombongkah kita untuk menjadi orang yang bertaqwa di sisi Allah dan mendapat syurga sebagai balasannya.   

Amarah dan ego itu  duduknya memang bukan di aqal. Tapi pada qolbu… qolbu itu dilitupi oleh nafsu. Nafsu itu diapi-apikan oleh bisikan syaitan. Nyatanya syaitan itu makhluk derhaka yang Allah janjikan neraka. Diberi izin untuk memperdaya, patutkah kita membiarkan diri terpedaya?

Jika kita mendahulukan Allah dalam segala hal dalam kehidupan harian kita pasti tidak menjadi kesukaran untuk memaafkan walau sedahsyat manapun kesilapan orang terhadap kita. Dan kerana kita beriman kepada Allah walau dalam keadaan  kita mampu untuk membalas perbuatan orang itu sekalipun kita tetap akan berani untuk memberi kemaafan.
Surah An Nahl Ayat 126 Allah berfirman:
“Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar.” 

Sesukar manapun memberi kemaafan, sukar lagi menurutkan rasa untuk menyimpan sakit hati dan dendam. Perasaan-perasaan ini tidak akan membawa diri kita maju. Buatlah muhasabah biar nampak kekurangan dan kelemahan diri sendiri takut-takut di masa hadapan kita pula terjebak melakukan dosa yang lebih buruk dan keji daripada orang yang tidak ingin kita maafkan itu. 

Memberi kemaafan tidaklah bermakna kita redha dengan kelakuan buruk orang terhadap kita. Tetapi apabila kita rela memaafkan bermakna kita telah meruntuhkan kesakitan kemarahan dan ego dan bersedia untuk meneruskan perjalanan menuju redha Allah. Release the pain and move on!  

Selasa, September 24, 2013

.: Tom Yam Ikan Merah :.

Sejak akhir-akhir ini memang tiada terilhamkan untuk mencoret lakaran ceritera apa di belog. Sehingga Ibu merasa sebenarnya Ibu ini tidak ada bakat langsung untuk menulis. Cuma perasan sahaja selama ini macam pandai sangat menulis. 

Terkebil-kebil masih memikirkan apa agaknya yang boleh jadi cerita menarik hari ini. Mungkinkah cerita tentang tomyam ikan merah untuk makan malam semalam itu cerita menarik?

Kisah tomyam ikan merah semalam mebuatkan Ibu teringin menulis tentangnya adalah kerana halnya memang mengusik hati kecil Ibu. Tomyam ikan merah masakan Ibu begitu dinikmati dengan penuh perasaan semalam oleh anak-anak. Kakak memuji-muji kesedapannya. Izzah pula minta tambah nasi lagi. Malah Ayah si Cinta Hati Ibu juga makan bertambah semalam. 

Manakan tidak bahagia rasa hati Ibu melihat suasana sebegini. Bila airtangan Ibu dinikmati bersungguh-sungguh penuh selera begitu. Mungkin ini sedikit sebanyak ada kena-mengena dengan niat (biniyyat lillahita'ala) kerana ingin anak-anak makan kenyang dan tidak kesakitan menahan keroncong dalam perut. Dan benar memang niat itu telah menjadikan ia tenaga untuk Ibu melaksanakannya tanpa rasa lelah.  Hilang lelah dibadan, tambah semangat memasak, tambah bahagia dalam hati. Lain kali Ibu akan selalu-selalu masak tomyam ikan merah...!

Ya Rahman... ini semua kurniaan Mu... Subhanallahiwabihamdihi... Subhanallahiladzim...   

Rabu, September 18, 2013

.: Ilham Catatan Harian :.

Kalau entri di belog tak berkemaskini berbulan-bulan lamanya, apakah sebenarnya masalahnya ya? Ketandusan ilham? Kehilangan mood? Dan kalau ilham dan mood itu datang pun kebelakangan ini ceritanya lebih banyak cerita sayu, lebih banyak cerita mengadu. Dan September ini pun Ibu memang sedang dilanda sayu. Sedih dan pilu.

Tapi tak apa entri hari ini bukan untuk bersayupilu dan mendayu-dayukan kata. Papan kekunci ditekan sekali ini memang bermula begitu-begitu sahaja. Tanpa ilham. Tapi papan kekunci tetap ditekan-tekan menjadi susunan bicara untuk entri kali ini yang entah hingga saat ini masih tidak tahu apa yang patut jadi ceriteranya. Ramai orang berbelog. Berkisah pelbagai hal. Berkongsi ilmu dan pengalaman. Atau sekadar mencatat perjalanan harian. Ibu pula bagaimana? Entahlah.

Mulanya Ibu berbelog kerana memang Ibu ingin mencatat journal harian Ibu. Seperti dulu-dulu. Itu memang sudah menjadi kelaziman sejak dibangku sekolah lagi hingga Ibu jejak kaki ke kolej. Setiap hari atau selang beberapa hari pasti ada kisah yang Ibu lalui dititipkan ke dalam journal. Journal Ibu bukan untuk tatapan sesiapa. Sekadar luahan hati sendiri yang nantinya Ibu sendiri yang akan membacanya. Tapi di sini, di dalam belog ini entah untuk apa Ibu menulisnya? Sudahlah ia jarang sekali dikemaskini. Pun jika Ibu tidak menulis Ibu rasa resah gelisah ingin benar menyusun ayat pula. Kisah pulak… biarlah.

Semalam Ibu baru menghabiskan novel sejarah kisah Bilal bin Rabah. Kisahnya sangat menyayat hati. Ibu memamg menitiskan air mata ketika babak tertentu dalam kisah Bilal ini. Sekarang Ibu seperti ketagihan ingin mencari bahan bacaan baru. Mungkin membaca dapat membantu menginovasikan ilham untuk Ibu menulis, siapa tahu?... 

Umrah Ramadhan 1436H

Bismillah. Perjalanan Umrah Ramadhan 1436H (Jun2015) tidak seharusnya terbiar tanpa dicoretkan rententannya diatas kertas. Tapi, memang ...