Sejak Ramadan menginjak baru minggu ini Ibu mengheret diri ke kuliahnya. Ibu curi-curi masa sementara sebelum Kakak ke sekolah dan sebelum menjemput anak-anak kindy pulang.
Tak diduga hari ini Dr. Fatma mengajak sekian muslimat yang hadir tunaikan solat hajat. Sebelum memulakannya dia memberi sedikit panduan dan pedoman menunaikan solat dengan cara yang betul. Dia juga mengajarkan bagaimana memustajabkan hasrat dan hajat yang dipinta. Paling penting katanya harus ada kesungguhan sambil merintih dan mengalirkan air mata untuk meminta kepadaNYA.
Dr Fatma mengingatkan saat sujud adalah detik paling dekat dengan Allah, maka pada detik inilah yang harus kita meminta, merayu dan merintih kepadaNYA. Pun begitu solat sepatutnya bukan untuk meminta tetapi untuk memuji dan mensyukuri kenikmatan lahiriah diri. (Prayers isn't about asking its about praising). Maka jika ingin meminta pujilah dan serulah dulu nama ALLAH, salawat dan salam juga ke atas Junjungan Besar dengan limpah rahmat. Kemudian barulah meminta.
Dan hari ini, sebelum mengangkat takbir pertama untuk solat dalam hati Ibu sudah berkira untuk meminta sesuatu yang memang benar-benar Ibu kepingin waktu ini. Tapi.. dalam sujud Ibu ketika masih memuji-muji dan mengucap zikrullah.... Ibu tiba-tiba jadi hiba malah terasa sangat pilu dan teresak-esak pula Ibu bersendu.
Sendu Ibu berlagu hiba kerana merasa sangat malu pada ALLAH. Sendu Ibu berlagu pilu kerana merasa hina diri disisiNya kerana.... sesungguhnya memang Ibu berasa malu dan hina... dan Ibu sudah tidak lagi berhasrat untuk meminta hajat Ibu sebenarnya. Ibu memohon sejuta keampunan.. kerana baru tersedar kehinaan diri dan rasa malu padaNYA. Betapa apa yang Ibu inginkan sangat duniawi... betapa Ibu merasa tidak layak dalam kehinaan itu..
Dan akhirnya Ibu hanya meminta diberi kekuatan dan ketabahan dalam jiwa. Ibu pinta agar ALLAH sentiasa mengajarkan Ibu untuk sentiasa ingat padaNYA, agar sentiasa bersyukur padaNYA, agar sentiasa berusaha mempertingkatkan diri beribadah kepadaNYA. Ibu juga pinta agar dibukakan pintu-pintu rezeki dan dipermudahkan urusan serta diberi kesihatan selagi umur masih dipinjamkanNYA.... aameen, aameen, aameen YA ALLAH!
http://mawarungudankupu.blogspot.com |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan