Jumaat, Jun 28, 2013

.: Tips Celik Mom Prof Muhaya :.

Tips Untuk Kebahagiaan Anak 

Jom amalkan 10 tip dibawah ini bermula dari hari ini juga.

Sebenarnya diuji dalam nikmat ini amat memerlukan pertolongan Allah. Takut pula timbul sifat sombong, bangga diri, rasa hebat dan lainlain. Hanya padaNya kita berserah setelah berdoa dan berusaha. Beberapa tip yang boleh kongsi bersama.

1. Kalau tiba-tiba teringatkan anak kirimkan bacaan Al Fatihah. Sampai ke ayat "iyyakanakbudu waiyyakanastain" - yang ertinya "Hanya kepada Mu kami sembah dan hanya padaMU pohon pertolongan..", mintalah apa-apa hajat masa itu yang ada hubung kait dengan anak yang Kita ingat tu, habiskan bacaan surah Al Fatihah doakan semuga anak kita diberi kefahaman yang sebenarnya dalam urusan agamanya, memiliki ilmu yang bermanafaat Dan serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaganya.

2. Pandang wajahnya semasa dia tidur ucapkan bahawa, ibu nak (nama anak) jadi anak yang soleh sayang!. Cubalah amalkan ( ustaz kata ini makna kita bercakap dengan rohnya ) Dan ucapan ini adalah DOA Dan Allah Maha mendengar lagi maha melihat.

3. Masa bangun solat malam, solatlah hajat disisinya. Maksudnya Kita solat dalam bilik dia Dan dekat dengan dia. Jika Kita selalu buat Dan Kita juga selalu beritahu dia yang Kita sering doakan dia, dia akan rasa satu ikatan kasih sayang yang hakiki yang Kita amat sayangkan dia dan nak dia jadi anak soleh.Dia akan tahu Kita selalu solat hajat untuknya.

4. Minta dikasihani. Ucapkan setiap masa bahawa kita ni sedang menunggu panggilan Allah. Jika Dia tak jadi anak soleh bermakna dia tak sayangkan kita dan tentunya kita akan merana di Alam Barzah nanti.

5. Peluklah anak selalu walaupun dia sudah besar, sebagaimana Kita tatang dia masa kecilnya. Aura ciuman dan belaian ibu sambil bisikkan padanya yang kita bangga mempunyai anak sepertinya.

6. Maafkan anak Kita setiap masa walaupun perbuatannya amat melukakan hati Kita.Muhasabbah diri mungkin kesilapan yang anak lakukan itu adalah kerana dosa-dosa kita dimasa lampau.

7. Yang paling penting jaga tutur kata Kita, jangan sekali-kali ucapkan perkataan yang boleh melukakan hatinya. Jika ini berlaku juga kerana kita TER.. kata, cepat-cepat cari masa yang sesuai untuk Kita minta maaf padanya. Mengakulah padanya itu kelemahan Kita, Kita marah kerana dia buat salah,bukan bermaksud membenci.Ceritalah buat macam dramapun boleh .

8. Amalkan membaca ayat 40 surah Ibrahim supaya Kita,anak Dan zuriat keturunan Kita termasuk dalam golongan orangorang yang tetap mendirikan Solat. [Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.]

9. Selalu ingatkan anak bahawa tak guna ada pangkat, belajar tinggi, hatta hafal Quran sekalipun jika tidak mempunyai peribadi yang mulia.Allah tak pandang wajah yang cantik tapi pandang hati yang cantik. Allah tak sayang, manusia tak suka.

10. Masa basuh beras niatkan "Ya.. Allah lembutkanlah hati anak-anak ku sebut nama dia.....untuk faham agamanya ", [kenapa Kita nak dia faham agama, kerana anak yang tak faham agama boleh bawa ibubapanya juga ke neraka sebagaimana engkau lembutkan beras ini menjadi nasi ". Basuh beras lawan jam ( macam org tawaf ) sambil selawat kepada Nabi Muhamad S. A.W. Masa buat kerja ini hati jangan lalai..dan ingat kepada Allah selalu.

~ mudah-mudahan dapatlah Ibu mengamalkan sedaya boleh demi anak-anak

Khamis, Jun 13, 2013

.: Irsyad Demam :.

Sudah lama Ibu tidak berpagi menyediakan sarapan anak-anak sebelum ke sekolah. Mengantuk benar. Tak kuat langsung bermujahadah melawan kantuk. Lewat-lewat waktu subuh baru Ibu terdaya bangun terkocoh-kocoh menyempurnakan solat. Waktu itu Abang dan Kakak sudah buka pintu grill untuk turun. Mereka cuma minum seteguk-dua air teh bancuhan bibik. Kasihan anak-anak Ibu…

Hari ini si kecil Irsyad pula sudah 5 hari demamnya tak kebah-kebah. Ini tak boleh jadi…
Berhari-hari ditinggal Irsyad berehat di rumah tidak ke sekolah. Tapi malangnya Isryad belum juga sihat. Rehat saja tanpa makan ubat. Mungkin itulah sebabnya demamnya melarat, tak kebah. Sebab tak makan ubat?

Pagi ini Ibu tidak mahu meinggalkan Irsyad sebelum memastikan dia kenyang makan, makanan ruji. Bukan makanan ringan dan siap diberikan ubat. Awal-awal lagi Cik Puan Besar dimaklumkan akan kelewatan Ibu kerana belahan jiwa Ibu nan seorang itu masih tinggi suhu badannya. Alhamdulillah CPB memahami.

Jadi pagi ini sebelum ke pejabat Ibu masakkan bubur ubi keledek untuk Irsyad. Usai masak, suam-suam kuku Ibu suapkan bubur nasi ubi keledek ke mulut Irsyad. Siap makan terus Irsyad diberikan ubat, bekal dari klinik Dr Aziz. 

Kesalan tak terucapkan bila anak-anak seperti terabaikan tanpa perhatian. Irsyad demam berhari-hari.  Entah mengapa naluri Ibu kuat mengatakan demam Irsyad itu demam biasa bukan demam viral atau apa pun yang merbahaya. Tapi ia tak terkawalkan dan melarat-larat. Mengapa? Mana Ibu yang sepatutnya memerhati Irsyad dari masa ke masa, agar suhu badannya lekas turun dan kebah. Mana Ibu yang seharusnya membelai sambil melayan Irsyad minum ubat? Sibuk benarkah Ibu? Berat benar tugasan Ibu hingga lelah bila di rumah dan tidak terdaya merawat anak? Gagalkah sudah Ibu? 


Khamis, Jun 06, 2013

.:isra' mikraj:.


Aduhaiii..
Hari ini terasa lambat benar waktu berlalu. Jenuh menunggu saat demi saat mendetik. Cik Puan Besar pula memang sentiasa berada dalam kantornya sahaja. Tiada temu janji hari ini. Begitu terasanya perlahan waktu bila dia Si CPB ada dalam kantornya. Ahhh… dugaan.


Hari ini 27 Rejab 1434. Pada tinta sejarah hari ini harus dikenang akan peristiwa Isra’ Mikraj Nabi s.a.w. Mari Ibu catitkan sedikit nota tentang Isra’ Mikraj ini supaya Ibu tidak lupa. Dan semoga juga apa yang masih belum Ibu hayati tentang peristiwa ini akan meresap ke dalam jiwa Ibu. Agar menjadi ilmu yang dapat Ibu sampaikan kepada hamba-hamba Allah, amanah dariNya yang telah lahir dari rahim Ibu.

01. Israk yakni perjalanan Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

02. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.

Alhamdulillah walau agak terlambat kerana hanya selepas Isyak baru Ibu membuka lembaran (tapi masih sempat) untuk duduk berbulatan bersama anak-anak untuk bercerita tentang Isra’ Mikraj. Sungguh terdapat banyak kisah-kisah yang perlu diketahui dan difahami tentang perjalanan malam Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam  Antaranya cerita tentang solat 5 waktu, harum makam Mashitah, azab buat si derhaka di neraka dan banyak lagi yang Ibu kongsikan dengan anak-anak. Alangkah baiknya jika ayah tidak sibuk malam itu, dapat Ayah duduk bersama menokoknambah cerita Ibu..

p/s: buat sahabat yang singgah membaca entri ini… jika menyinggah kerana mencari isi untuk tajuk Isra’ Mikraj harap dapat google ke laman sesawang yang lebih lengkap maklumatnya. Coretan Ibu sekadar catatan harian yang menjadi nota ingatan dengan bahasa sendiri untuk peringatan sendiri supaya ada rasa ingin tahu, ada rasa untuk membuang kejahilan …wallahualam..

Ayam Masak Hitam

Bismillah.. Ayam Masak Hitam. Ini adalah antara koleksi resepi yang Ibu simpan sekian lama. Ibu baru sangat berkahwin waktu mendapatkan ...