Jumaat, Disember 14, 2012

.: celaka bagi orang solat :.

 
Bismillah..
Catatan hari ini tidak Ibu tulis sendiri. Ia hanya ditiru dan ditampal semula. Ibu jumpa di dinding mukabuku seorang kakak. Ia tentang solat. Ia sangat menampar Ibu. Ahh..  Betapa pun ditampar masih gagal mengambil pengajaran. Degil. Degil amat Ibu!

Maka  biarkan peringatan ini ditampal disini. Biar Ibu kuat-kuat mujahadah. Lawan nafsu. Lawan malas. Biar Ibu ingat apa guna solat tapi masih celaka... nanges...sobbbssss... 

Mari usaha supaya solat jadi mustajab. Jangan setakat nanges-nanges sahaja.. Fight it!!
 
Surah Al-Maun ayat 4 dan 5

فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤) ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِہِمۡ سَاهُونَ (٥)
Kecelakaan bagi orang-orang yang melakukan solat (4)Yang lalai dari solat mereka (5)”

LALAI DARIPADA SOLAT
 
Ada beberapa peringkat seperti berikut:
1] LALAI TERUS... Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.
2] ADA MASA LALAI DAN ADA MASANYA ingat dan sedar, bahawa dia sedang bersembahyang... Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia...
3] BOLEH IKUT DAN MENYOROT APA YANG DIA BACA dalam sembahyang TETAPI TIDAK FAHAM akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan... Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai... Bila tidak faham, masakan boleh menghayati... Kalau tidak menghayati, masakan boleh ‘merasa’ apa-apa dengan Tuhan...
4] BOLEH FAHAM SEGALA APA YANG DIBUAT, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang... Sembahyang seperti ini sudah agak baik... Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang, kerana belum ada apa-apa ‘rasa’ dengan Tuhan... Khusyuk adalah ‘rasa’ bukan setakat tahu atau faham...
5] FAHAM AKAN SEGALA APA YANG DIBACA DAN DILAFAZKAN dalam sembahyang dan kadang-kadang ada ‘rasa’ tetapi tidak pada sepanjang masa... Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai... Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang, tetapi ‘rasa’ dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang....
6] SEMBAHYANG YANG TIDAK LALAI ITU IALAH YANG SENTIASA MEMPUNYAI ‘RASA’ dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam... Inilah sembahyang yang tidak lalai.... Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk....

LALAI BERPUNCA DARIPADA PENGARUH DUNIA... Kalau dunia berada di hati, amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang... DUNIA AKAN TERBAWA DALAM SEMBAHYANG.... Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada ‘rasa keduniaan’ seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya... ‘Rasa’ ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa khusyuk... Untuk dapatkan 'rasa' khusyuk, kita wajib kenal Allah yang kita sembah... SEKIRANYA KITA TIDAK KENAL TUHAN, HANYA SETAKAT TAHU DAN PERCAYA SAHAJA, kita tidak akan dapat rasa khusyuk... Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja, kerana tahu dan percaya itu perkara akal...
 sumber: https://www.facebook.com/ramli.joned

Khamis, November 29, 2012

.: hasrat nurani Ibu :.

 Bismillah..

Ya Rabb...
Sesungguhnya aku ingin mengusahakan sesuatu. Atau mungkin bukan 'se' tapi dua..

Ya Allah..
Dua perkara yang aku pasti dalam bisik bibirku malah di lintasan dalam hatiku pun Kau Maha Tahu, Ya Alim...

Ya Jabbar..
Kurniakanlah aku kekuatan untuk memulakan usahaku itu. Ketika ini, dua perkara itulah yang ingin sekali aku usahakan agar  merubah jadi  baik dan indah.

Ya Rahman..
Kurniakanlah padaku ilham untuk memulakannya, cetuskanlah aku ilmu untuk mendalaminya lalu jadikanlah aku tahu bagaimana memulakannya dan terus mengusahakannya dengan istiqomah..

Ya Aziz...
Berikan aku kemahuan yang penuh semangat untuk memulakannya, kedua-duanya kemahuanku itu, agar seiring  jalan dapat kumulakan. Sambil kemalasan yang membaluti seluruh tubuhku Kau bantulah aku membuangnya, berikanlah aku kuasa untuk membuang penyakit malasku...

Ya Rahim...
Engkau Maha Penyayang, dengan limpah kasihMu jadikanlah kemustahilan  itu suatu keajaiban  buatku...   Benarkanlah ia terjadi dengan limpahkasihMu agar dapat aku usahakan merubahnya dengan perasaan penuh kasihsayang jua

Ya Wahab...
Rintih hatiku ini yang sungguh begitu berhasrat, mengharap pemberianMu. Berikanlah aku, berikanlah aku, berikanlah aku kesempatan untuh memperolehinya. Dengan ilham, dengan ilmu, dengan kekuatan, dengan kasih dan sayang dan dengan istiqomah... berikanlah aku kesempatan untuk merasainya

Ya Mujib..
Sesungguhnya Engkau sentiasa dekat lagi sentiasa memperkenankan permintaan hambaMu..

Selawat dan salam buat junjungan baginda Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam

Walhamdulillahi Rabbil-Alamin

 


Khamis, November 08, 2012

.: tanpa ilham :.

belog ini kadang-kadang sekadar dijengah. 
tanpa ilham. 
tiada catatan  baru untuk di'terbit'kan.


Selasa, November 06, 2012

.: sesak kain jemuran :.

 
sudah lama mr. sun tidak menjengah. serasa Ibu seminggu sudah. kain baju berbondong-bondong, membakul-bakul. 

tolllooong...!! Ibu sangat berharap ada bantuan untuk Ibu menguruskannya disini. kesesakan kain baju. 

di dalam bakul kain yang bacin(chess!). dan yang tak sempat kering di ampaian. dan yang di dalam mesin kerana tiada kekosongan ampaian untuk dijemur. dan yang sudah kering belum dilipat. dan yang belum digosok. 

phewww... Ibu  nak pengsan. sesak nafas dalam timbunan kain baju.

   

boleh tak Ibu letak jawatan? sebagai Ibu, surirumah? kerana Ibu sudah gagal menjalankan tugasan menguruskan kain baju... ngeeee.. 

ataupun, boleh tak ayah beri kembali pangkat Ibu yang dulu? jadi "madam" kepada seorang bibik?... teeheeheehee...

.: rapuh :.

Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka
Tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan
Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Ku persembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidupku

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu
Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada ku harap hanya
Dirimu yang bertakhta

Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu

Jumaat, November 02, 2012

.: tiada bicara :.

hari ini lepas solat maghrib Ibu menyambung lagi usaha mengkhatamkan Al-Kitab. hari ini Ibu sudah tiba pada surah Al-Furqan. hari ini hari kedua bacaan surah Al-Furqan diteruskan.
waktu Maghrib itu tinggal dua muka surat terakhir surah Al-Furqan. Maghrib itu Ibu memulakan surah Al-Furqan pada ayat yang ke-56. tiba di ayat ke-58 hati Ibu jadi tersentuh ~

" dan bertawakallah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup,Yang Tidak Mati, serta bertasbihlah dengan memujiNya. Cukuplah Dia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya."
 Al-Furqan:58

seterusnya ada ayat sajadah pada ayat ke-60. Ibu bertakbir dan sujud bila tiba di ayat itu. ~

" dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu): ' sujudlah kamu kepada Al-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah)..."
Al-Furqan:60

selepas salam dari sujud. sedang Ibu menyambung lagi bacaan. Ibu teringat ada rajuk terjadi malam semalam. dan hari ini tiada bicara. bisu. dan sunyi. lalu Ibu memikirkan hal apakah ibadah hari ini ada nilainya? tercatatkan amal kebajikan nan sikit tercoet ini hari ini? diterimakah oleh Al-Rahman? sedang Ibu dalam murka seorang ayah kepada anak-anak belahan jiwa Ibu. Ibu jadi hiba. tiba-tiba esak tangis mengiringi bacaan. esak tangis kerana ketakutan. esak tangis kerana kerisauan. esak tangis makin menjadi-jadi bila tiba di ayat yang selalu menjadi doa seluruh jagat muslim-muslimat untuk pasangan dan zuriat mereka. ~

" dan juga mereka (yang diredhai Allah itu) ialah orang-orang yang  berdoa dengan berkata: Ya Rabb, anugerahkanlah kepada kami pasangan dan anak-anak yang menjadi penyejuk hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan orang-orang yang bertaqwa."
Al-Furqan:74

sob..sob..sob... Ibu isteri yang sedang berdosa. zahirnya membibirkan kata maaf. tapi batin kenapa terasa  begitu terseksa? tidak mukhliskah dijiwa kata maaf itu? maka itulah ia punca keseksaan  dijiwa itu. yang akhirnya membawa kepada esak tangis ketakutan dan kebimbangan. apakah Allah tidak redha dengan apa jua amalan Ibu hari ini...

Begitupun Ibu masih berharap diri Ibu sentiasa dalam peliharaan Allah dan diampunkanNya. semoga apa juga amal yang disukaiNya yang telah cuba Ibu kerjakan hari ini. biar sedikit dan compang-camping tetap mendapat redhaNya jua

Sungguh Allah itu Maha Dekat. Dekat yang amat. Maha Dengar. Maha Melihat. Maha Tahu. Semua. Segalanya. tentang hal dalam hati. dalam benak Ibu. lalu disampaikannya kepada Ibu akan ayat 'penyejuk hati pasangan' itu kepada Ibu... sob..sob..sob....

mudah-mudahan akan Allah datangkan kekuatan untuk Ibu memohon MAAF yang sebenar-benarnya dengan jiwa nan mukhlis dan semoga juga akan sentiasa diilhamkanNya agar dapat Ibu jadi pasangan yang menyejukkan hati...setiap masa dan selalu-selalu..

Selasa, Oktober 30, 2012

.: sanah helwah Ibu & Dini :.

 Bismillah
Segala puji bagi Allah yang menyampaikan usia kami  berdua  beranak hingga hari ini. Mudah-mudahan dengan kesempatan yang diberikan ini telah terisi dengan keredhaan dan akan terus di berkati ke tahun-tahun yang akan mendatang...

Ibu dilahirkan dalam bulan Syawal. Ibu melahirkan Dini yang Ibu panggil Kakak di bulan Ramadhan. Tapi kami saban tahun menyambut hari kelahiran pada  Oktober 30.

Tak mengapalah. Biar saja begitu setiap tahun. Sementelah waktu yang difikirkan telah dijangkau itu masih tidak dapat memberi kiraan ketepatan umur kami. Biarpun pada angka ia makin menambah. Tapi umur itu memang rahsia Allah. Hanya dia yang tahu. Apa yang pasti umur yang bertambah pada setiap tahun itu telah dan akan menjadi semakin kurang perjalanannya

 

Semoga nikmat umur kami yang dipanjangkan olehNya dapat diisi dengan amalsoleh dan kebajikan serta beroleh redha Ya Rabb. Selalu. Dan selalu begitu. Aameen...

Buat semua yang  telah memenuhi mukabuku Ibu dengan berbaris ucapan dan doa...


Tidak lupa buat Ayah, terima kasih untuk semuanya...
Alhamdulillah,wasyukurillah...


Rabu, Oktober 24, 2012

.: taqwa :.

Bismillah.
Seorang muslim harus jadi seorang mukmim. Seorang mukmin harus ada taqwa dalam jiwanya. ~ Ini adalah untuk ingatan diri Ibu sendiri. Usaha! Fight it! Taqwa!

Tapi tahukah Ibu apa erti taqwa? 

Kalimah taqwa itu membawa maksud -  berhati-hati, waspada, berjaga-jaga

Teringat waktu duduk-duduk dalam bulatan santai seketika dulu mendengar bicara Dr. Har yang menerangkan maksud taqwa. Ringkasnya Ibu susunkan pemahaman Ibu dari apa yang disampaikan itu dan dari sedikit sebanyak yang Ibu jengah dari enjin pencarian Google iannya seperti di bawah ini:-

taqwa = profesional
~ memang ini  bahasa yang dipermudahkan oleh Dr. Har maksud taqwa itu sama dengan profesional

taqwa: memelihara diri dari kemurkaan Allah dengan mentaati perintahnya dan meninggalkan larangannya atas kemahuan sendiri tanpa perlu diingatkan oleh sesiapa

profesional: seseorang yang bertindak memberikan tugasan terbaik mengikut kepakarannya penuh semangat
dan kesungguhan dengan kemahuan sendiri tanpa disuruh dan tanpa perasaan menunjuk-nunjuk

Itu dari pemahaman Ibu sendiri dari usrah dan bacaan ilmiah dari internet. Berikut ini ada hadis Rasulullah tentang taqwa dan sebuah kisah sahabat juga tentang taqwa:-

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda yang bermaksud :
"Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintah-Nya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepada-Nya dan tidak mengkufuri nikmat-Nya". ( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )
 
Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : "Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri? Jawab Umar: "Ya". Tanya Ubai lagi: "Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?".
Jawab Umar : "Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati". Balas Ubai : "Itulah yang dikatakan taqwa".
 sumber : www.iluvislam.com


Dalam Al-Quran banyak diulang-ulang tentang taqwa. Alhamdulillah selepas berbulatan dengan membaca dan mentadabur kalam Allah dalam surah Al-Imran, surah ke 3 ayat 133 hingga 135 mudah-mudahan memberi kefahaman tentang apakah perkara yang membawa kepada  berbuahnya taqwa dalam jiwa.

Al-imran : 133

" Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa"
  • memohon keampunan dari Allah harus bersegera, tiada tangguh-tangguhnya, harus sekarang ini, jangan tunggu malam nanti, jangan tunggu esok, jangan langsung tunggu tua nanti, segera! sekarang! ~  balasan syurga untuk orang yang  bertaqwa. 
Siapa orang yang  bertaqwa itu? 

Al-imran : 134-135

" iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di waktu senang ataupun sempit dan orang-orang yang menahan api kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan, dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji  atau menzalimi diri sendiri, maka mereka segera mengingati Allah, lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang telah mereka lakukan, dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain dari Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedangkan mereka mengetahui (hukum dan kesannya)"

Antara ciri-ciri orang yang bertaqwa:- 
  • Selalu ingin dengan rasa lapang hati  untuk menafkahkan hartanya baik diwaktu senang mahupun diwaktu sempit
  • Menahan api kemarahan daripada menguasai diri sehingga akan menyebabkan dia bertindak di luar kawalan dan batasan
  • Memaafkan kesalahan orang lain, walaupun ketika itu dia mampu dan mempunyai kekuatan untuk mengambil tindakan dan membalas terhadap orang yang menzaliminya, namun maaf kesalahan mereka lebih diutamakan. 
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)
  • Berbuat baik dan suka membuat kebajikan. Disamping memaafkan kesalahan orang lain hendaklah kemaafan itu diiringi dengan berbuat baik kepada orang yang melakukan kesalahan.
  • Segera mengingati Allah dan istighfar tatkala melakukan perbuatan keji (dosa-dosa besar yang mudharatnya tidak hanya ke atas dirinya seperti berzina, mencuri, membunuh, riba, menuduh orang melakukan kejahatan, merompak dan lain-lain lagi)dan menzalimi diri sendiri (dosa-dosa yang mudharatnya hanya menimpa dirinya sendiri, samada dosa-dosa besar atau kecil)
  • Memohon keampunan Allah setelah melakukan perbuatan-perbuatan dosa di atas dan berazam tidak akan meneruskan perbuatan-perbuatan tersebut


Sabtu, Oktober 20, 2012

.: kemaruk kerrr? :.

Ibu sedang kemaruk. sangat. yang amat sangat. kemaruk apa? kemaruk makan jeruk?... teehee...

bukanlah! bukan kemaruk itu!

hmmm.... kemaruk minum kopi kampung mungkin? kopi 434?
 
bukannn.  bukan juga halnya dengan kemaruk kopi.

Ibu sekarang macam kemaruk sangat nak melakar cerita di belog busyuk dan comot Ibu ini. banyak hal bermain dalam benak. butang-butang huruf yang ingin Ibu tekan-tekankan di papan kekunci ini. boleh jadi panjang senarainya. untuk jadi banyak-banyak cerita. 
tapi sekarang. kisarnya ada. sayang bahannya  belum betul-betul cukup. biar cukup dulu. biar Ibu gali dan cari dulu. biar banyak-banyak bahannya. kemudian  baru Ibu olah menjadi catatan yang biarpun pendek. tapi penuh isi dan erti. 

mari kita senarai dulu. satu persatu. kemudian senarai pendekkan lagi. kemudian barulah kita putuskan bagaimana kisah yang akan terpapar dibelog ini harus diterbitkan... jengjengjeng...

Nombor 1 ~ tudung/hijab/jilbab.
kain yang sekadar menjadi penutup kepala, leher dan  belahan leher baju dan dada. hari ini kenapa harganya harus begitu mahal? harganya mencecah selayak harga sehelai jubah  lengkap dengan selendang dari tenunan sutera asli yang di import dari Abu Dhabi. 
kalau begini sekali harga sehelai kain tudung. menyamai harga sepasang pakaian jilbab lengkap dari kepala ke kaki. apa zuhudnya si pemakai sehelai tudung?  apa rugikah si peniaga?  tidak bersyariatkah kita kalau bersederhana? kala ingin menutup aurat dan menjual pakaian menutup aurat itu.

Nombor 2 ~ 
...hmmm... apa ya yang nomol 2 harus jadi entri? ...aarhh... hilang ingatanlah pulak!...

hah... tunggulah nanti-nanti saja senarai yang Nombor 2 dan seterusnya... Ibu sudah kelelahan sekarang. bantal sudah memanggil-manggil.... teehehehe... zzzzzZZZZ...

Isnin, Oktober 08, 2012

.: istiqomah :.

Nota Ibu hasil dari bulatan manis pada hari Jumaat yang lepas tentang ~ meraih dan meniti jalan istiqomah...

Apakah istiqomah? 

Secara etimologi atau dasarnya istiqomah bermaksud tegak lurus. 

Umar Al-Khatab r.a.  berkata: "Istiqomah itu ialah tetap dalam menuruti perintah Allah dan menjauhi laranganNya serta tidak menyimpang (tidak berubah-ubah) darinya

Ibnu Taimiah berkata: “Mereka beristiqomah dalam mencintai dan beribadah kepadaNya tanpa melihat kiri kanan”


Secara mudah pengertian istiqomah boleh diterjemah sebagai:

  •  berterusan melakukan kebaikan
  • tetap dijalan yang lurus dan tidak berpaling 
  • teguh pendirian dan amalan
  • penuh iltizam dan tinggi komitment
Dan  betapa mudahnya pengakuan akan tetapi betapa sulitnya amalan. Semoga iman kita bukan sekadar ucapan dibibir bahawa "aku beriman kepada Allah." Tetapi patutlah kita istiqomah dalam menunaikan tuntutan iman itu. Apabila mengakui iman kita pada Allah, maka yang turut mengaku itu adalah bukan hanya mulut, tetapi hati dan seluruh gerak geri malah juga segala 'sepak terajang'. Walaupun mungkin lidah tidak terbuka namun sikap hidup telah menyatakan pengakuan ungkapan tersebut. Kemudian mereka teguh pada pendiriannya tidak berganjak, tidak ragu-ragu dan tidak berpaling lagi. Itulah istiqomah!

Antara kelebihan istiqomah:
  • dipermudahkan rezeki di dunia, beroleh kenikmatan di akhirat - Surah Al-Jinn : 16
  • sentiasa didampingi malaikat, lambang kerahmatan - Surah Fussilat : 30
  • dihilangkan rasa sedih dan takut kalau kehilangan - Surah Al Ahqaf : 13 bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, Tuhan kami ialah Allah. Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhid-nya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita".
  • didatangkan khabar gembira - diterima amalan, diampunkan dosa dan nikmat syurga - Surah Fussilat : 30-32 
Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Surah Hud menyebabkan rambutku beruban" [Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Katsir, Juzu':4, M/S:302].
Sabda baginda ini merujuk kepada ayat berkaitan dengan istiqomah di dalam surah Hud. Ia menggambarkan betapa penting dan sukarnya untuk istiqomah.
Istiqomah itu memang sukar kerana kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nafsu kita. Meskipun sukar, istiqomah  mesti kita miliki, kerana dengan istiqomah manusia akan menjadi mulia di khalayak ramai dan di depan Allah Taala.

Jadi, bagaimana meraih dan meniti jalan istiqomah? Kerana peritnya untuk melalui jalan istiqomah kita maka kita perlu motivasi yang tinggi untuk mengatasi keperitan itu. Apakah antara perkara motivasi itu? 

  • Pertama-tamanya - harus sedar dan faham dengan sempurna tentang ajaran Islam. Sentiasa berusaha memantapkan ilmu agama agar bertambah kefahaman tentangnya.
  • Perkara kedua - memahami dan mengamalkan kalimah syahadah. Berpegang dengan prinsip kalimah ~La ilaha illallah - sehinggalah mati masih di atas kalimah itu. Allah akan meneguhkan iman seseorang bila memahami dan beramal dengan kalimah ini - menetapi dan mengikuti garis-garis yang telah ditentukan agama dengan sebenar-benarnya memahami dan mengamalkan dua kalimat syahadat dengan baik dan benar. Allah Ta’ala berfirman, “Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ‘ucapan yang teguh’ dalam kehidupan di dunia dan di akhirat” (QS. Ibrahim [14] : 27). Makna “ucapan yang teguh” adalah dua kalimat syahadat. Sehingga, Allah akan meneguhkan orang yang beriman yang memahami dan mengamalkan dua kalimat syahadat ini di dunia dan di akhirat. memahami dan mengamalkan dua kalimat syahadat dengan baik dan benar. Allah Ta’ala berfirman, “Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ‘ucapan yang teguh’ dalam kehidupan di dunia dan di akhirat” (QS. Ibrahim [14] : 27). Makna “ucapan yang teguh” adalah dua kalimat syahadat. Sehingga, Allah akan meneguhkan orang yang beriman yang memahami dan mengamalkan dua kalimat syahadat ini di dunia dan di akhirat.
  • Sentiasa merasa  bahawa Allah sangat dekat dan sedang mengawasi kita - surah Al Baqarah : 235 ......."Dan ketahuilah bahwasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahwa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.
  • Mujahadah dalam isitiqomah - untuk berjaya dalam istiqomah kita perlu kuat dan bersungguh-sungguh untuk memerangi nafsu yang dapat membawa kita kepada kejahatan dan kemungkaran. Peperangan dengan nafsu adalah peperangan dalam dirisendiri dalam usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Itulah namanya bermujahadah dalam istiqomah!
  • Bergaul dengan golongan yang istiqomah - berkawanlah dengan mereka yang komited dengan kebaikan. Kawan yang baik ialah kawan yang membantu kita berbuat baik. Kawan yang baik ialah kawan yang mendorong kita ke syurga. Kawan yang baik ialah kawan yang menghalang kita daripada terjerumus ke neraka.
  • Hayati sirah golongan yang istiqomah - perjalanan hidup Para Nabi dan Rasul merupakan contoh terbaik dalam menterjemahkan makna istiqomah. Deretan Para Sahabat yang sangat disayangi Rasulullah S.A.W seperti Sumayyah, Yassir, Saidina Hamzah, Saad bin Muaz, Hanzalah, Mus’ab dan lain-lain, mereka ini juga golongan yang sangat istiqomah. 
  • Mua'qabah - memberi hukuman kepada diri sendiri sebab merasa telah lalai atau alpa dalam beribadat. Perbanyakkan istighfar memohon keampunan dari Allah atas kelalaian dan keterlanjuran melakukan kesalahan.  
  • Perbanyakkan doa - khususnya untuk meminta kepada Allah agar diberi kekuatan untuk tetap istiqomah
  • memahami dan mengamalkan dua kalimat syahadat dengan baik dan benar. Allah Ta’ala berfirman, “Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ‘ucapan yang teguh’ dalam kehidupan di dunia dan di akhirat” (QS. Ibrahim [14] : 27). Makna “ucapan yang teguh” adalah dua kalimat syahadat. Sehingga, Allah akan meneguhkan orang yang beriman yang memahami dan mengamalkan dua kalimat syahadat ini di dunia dan di akhiratMuhasabah -  Dari Syadad bin Aus r.a., dari Rasulullah S.A.W., bahawa beliau bersabda, ‘Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah swt. (HR. Imam Tirmidzi) 
    Sebagai seorang muslim kita harus tahu menghisab dan menilai diri. Apakah diri kita lebih banyak berbuat kebaikan atau lebih banyak melakukan kemungkaran atau lebih banyak lalai. Bila bermuhasabah kita haruslah melakukannya dengan menggunakan Al Qur’an dan Sunnah sebagai dasar penilaian bukan berdasarkan keinginan diri sendiri. 

     

Ayam Masak Hitam

Bismillah.. Ayam Masak Hitam. Ini adalah antara koleksi resepi yang Ibu simpan sekian lama. Ibu baru sangat berkahwin waktu mendapatkan ...