Khamis, Julai 18, 2013

.: 10 Ramadan Pertama Tahun Ini :.

Bismillah..

Hari ini sudah 9 Ramadan 1434H, hati Ibu sangat haru dan sayu mengenang ibadah yang dijalani sepertiga pertama Ramadan kali ini.

Tak dapat tidak untuk Ibu menyangkal keharubiruan dan celaru ini banyak dipuncakan oleh Cik Puan Besar dalam mengharungi sepertiga pertama Ramadan tahun ini. Perkara mudah disusahkan. Perkara remeh dirumitkan. Lempar herdik berterusan. Semua orang jadi taruhan kesalahan.

Pun begitu bukan Ibu tidak terfikir bahawa semua ini tidak sepatutnya Ibu salahkan CPB jika Ibu gagal menghadapi ibadah Ramadan dengan tekun dan tawaduk. Tingkah dan akhlaknya yang menyakitkan jiwa itu harus dapat Ibu jadikan sempadan untuk belajar menahan diri. Itukan matlamatnya ujian berpuasa. Mengawal dan menahan diri. Aduhai, bukan Ibu tidak mencuba. Ibu rasa sudah berusaha keras untuk menepis dan mengawal nafsu amarah dan beremosi mengikut rentak CPB. Sedih pilu amat terasa bilamana memang Ibu telah gagal. Gagal mengawal semuanya. Mengutuk dalam hati. Menyumpah dalam diam. Jangan ada kelibat yang mendekat Ibu mula mengumpat. Begitulah saban hari... sangat haru dan pilu.

Dimanakah harus Ibu letakkan pengharapan limpahan rahmat dalam 10 hari pertama Ramadan ini? Entahkan diterima entahkan tidak. Mudah-mudahan masih ada ruang untuk Ibu. Yakin akan Ya Wahab yang Maha Pengurnia. Dialah juga Ya Alim yang juga Maha Mengetahui. Moga rahmatNya dilimpahkan buat Ibu.

Ya Ghafar...ampuni dosa-dosaku...

Rabu, Julai 03, 2013

.: catatan hari ini :.

Bismillah.

7:00pagi~Hari ini masak lemak cili padi ayam kampung dan menggoreng sayur brokoli sebelum bergegas ke pejabat.

9:15pagi~Agak kelewatan juga Ibu bersiap untuk keluar ke pejabat pagi ini. Sampai diparkir bangunan TTDI Plaza pun jam sudah mendetik 9:05pagi. Naik keluar dari tingkat parkir ke muka pintu lif, bertembung pula dengan Cik Puan Besar. Hurmm… apalagi, biarpun dalam seminggu tak sekali Ibu kelewatan tetap juga Ibu ditegurnya. Pun bukanlah Ibu lewat benar pagi ini.. sekadar 5-10minit lewatnya….haishhh..

Petang nanti cadangnya Ibu ingin balik tepat-tepat jam 6:00petang, tapi pagi ini Ibu sudah kelewatan masuk ke pejabat… gagal sudah! Eheh…

Tapi apapun seboleh mungkin Ibu tetap ingin pulang tepat-tepat jam 6:00petang. Ibu tak ingin lewat untuk hadir ke usrah Lovely Sisters Big Circle malam nanti.

©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©©

6:10petang~Indahnya cuaca petang hari ini membuat hati Ibu bahagia. Trafik lancar dan kereta Ibu pandu terluncur laju. Matahari petang bersinar lembut memancar ke wajah kusam Ibu jadi berseri-seri.  Bunga-bunga bahagia dalam hati makin menguntum ingin segera sampai ke rumah.

7:35malam~Usai bersegar-segar dan berwuduk, Maghrib pun tertunaikan. Ayah membuka mulut mempelawa untuk dihantar. Bunga-bunga bahagia yang menguntum tambah kembang.
                                                                                                         
Anak-anak Ibu tinggalkan dengan berpesan supaya makan malam dan menyiapkan kerja sekolah. Kasihan anak-anak belahan jiwa terpaksa Ibu tinggalkan malam ini demi bulatan kemanisan dalam raudhah yang ingin Ibu hadiri.

Semoga Allah redha…




Ayam Masak Hitam

Bismillah.. Ayam Masak Hitam. Ini adalah antara koleksi resepi yang Ibu simpan sekian lama. Ibu baru sangat berkahwin waktu mendapatkan ...