Selasa, Oktober 07, 2025

Umrah Ramadhan 1436H



Bismillah.

Perjalanan Umrah Ramadhan 1436H (Jun2015) tidak seharusnya terbiar tanpa dicoretkan rententannya diatas kertas. Tapi, memang bertahun sudah Ibu tidak menuliskan journal harian dalam buku-buku tebal. Apatah lagi coretan dan catatan di sini. 
Ya, memori dan kenangan yang dilalui sudah tidak tertulis lagi dalam journal seperti dulu-dulu. Entah kehilangan idea atau bagaimana tidaklah pasti. Tapi sesekali memang datang rasa rindu ingin menulis mencoret sesuatu pada hari tertentu. Bagaimana memulakannya, apa bicara coretannya kadang tak terfikirkan ceritanya.

Jadi pilihan ini. Cerita tentang perjalanan umrah ini mungkin adalah pilihan terbaik untuk dicatatkan. Ia adalah satu pengalaman manis penuh debaran. Terlalu besar anugerah ini untuk tidak dikenang dan ditintakan di mana-mana untuk orang tahu bagaimana perasaannya. Perasaan yang pelbagai bercampurbaur dalam diri. Berita visa lulus untuk umrah saja sudah sangat menggetarkan ketika mendengarnya. Sujud syukur Ibu ke hadrat Ilahi atas rezeki ini. Happy, teruja melonjak dalam hati. Kesyukuran atas nikmat ini. Tapi takut resah dan malu menerpa juga. Hamba hina ini seperti tidak percaya direzekikan untuk memijak tanah haram kota suci. 

Ketenangan dalam keserabutan. Kekalutan namun penuh kesyahduan. Huh...! Masakan Ibu tak mahu mencatatnya disini.

Biarpun ia mengambil sedikit. Atau lebih banyak masa pun Ibu akan tetap berusaha mencari ilham untuk duduk di hadapan skrin ini buat mencalitkan kenangan perjalanan ke tanah suci. 

Sepanjang di dalam kapal terbang Ibu keresahan dan begitu tidak selesa sekali. Tidak dapat tidur. Serta masih berpuasa hingga tiba di Medinah. Kerana Ibu juga Ayah tidak mahu berbuka biarpun kami dalam musafir. Ini kerana kami berdua yakin puasa kami iftarnya adalah menurut waktu iftar destinasi yang dituju. Maka berpuasalah kami selama lebih 12jam hingga tiba di Medinah. 

Sebaik tiba di airport Medinah
Malam pertama di masjid An-Nabawi. Suasana usai solat terawih
Menuju raudah di masjid Nabawi
Di pintu Uthman Bin Affan ~ menuju raudah An-Nabawi
Mercu tanda Tanah Haram Makkah AlMukarammah

Rabu, Julai 29, 2015

Ayam Masak Hitam

Bismillah..

Ayam Masak Hitam.
Ini adalah antara koleksi resepi yang Ibu simpan sekian lama. Ibu baru sangat berkahwin waktu mendapatkan resepi ini. Entah dari mana Ibu mendapatkannya sudah Ibu terlupa. Yang pasti ia dari sebuah majalah tapi entah majalah apa. Hari ini Ibu ingin mengemaskini buku resepi lama Ibu. Ibu ingin menggantikan buku resepi lama itu dengan yang baru. Namun bukunya sahaja yang harus baru. Resepinya tetaplah harus dari yang dulu-dulu. Yang extra vintage. Yang sangat sentimental value.

Itulah hakikat resepi ini. Ia resepi dari dulu-dulu, diketika Ibu masih terkial-kial beraksi di dapur kecil Ibu. Ia memang harus disimpan cermat. Dan tak salah juga Ibu catatkannya di sini. Hari ini kalau diGoogle sudah tak ketemu lagi resepi yang satu ini rasanya. Moga ia menjadi kongsian secebis ilmu yang bermanfaat untuk sesiapa sahaja yang menyinggah dibelog ini. Tanpa banyak celoteh dan bicara sia-sia mari Ibu coretkan dulu resepi itu di sini supaya tidak hilang. 

Bahan-bahan
1 ekor ayam
5 sb cili kisar
1 sb ketumbar *
3 bj buah keras*
15 ulas bawang merah*
1 inici halia*
1 cawan pati santan
3 sb kicap pekat
Gula, garam secukup rasa

* kisarkan bahan-bahan ini

Cara
Bersih dan potong kecil ayam, kemudian toskan. Gaulkan garam kunyit dan gorengkan ayam.
Tumiskan bahan yang dikisar * hingga garing. Masukkan kicap dan santan.
Apabila mendidih, masukkan ayam. Tambah gula dan garam mengikut kesesuaian. Kacau rata hingga sebati.


Ketika entri ini dicatatkan Ibu tidak memasak. Jadi tiada gambar hasiltangan Ayam Masak Hitam di sini. 

Rabu, April 15, 2015

.: travelog sehari ~ marathon pelbagai resepi :.

Bismillah..

Hari Selasa, 4 Februari 2015. Harilahir Izzah, ulangtahun ke-8. Marathon sajian air tangan yang jarang-jarang sekali Ibu lakukan. Hari Selasa itu hari cuti sekolah- berganti sempena Tahun  Baru Cina. Jadi kesemua anak-anak memang hanya di rumah. Tapi Ayah bekerja seperti  biasa.

Semalamnya semua orang kepenatan kerana Ayah membawa kita seisi keluarga ke Genting Highlands. Irsyad paling teruja sekali dengan suasana baru yang diperkenalkan pada dia. Teruja dengan cuaca sejuk. Dan teruja dengan 'indoor' theme parknya. Itu belum dia nampak outdoor theme park Genting Highlands yang sudah diroboh sekarang. Ia sedang dalam perancangan untuk dibangunkan semula nampaknya. Entah tahun bila baru akan siap sepenuhnya agaknya..

Tapi entri hari ini bukan cerita pengalaman di Genting Highlands yang jadi highlightnya. Tapi kerja memasak sajian lengkap sehari yang  julung-julung kali pernah Ibu marathonkan hari ini sempena harilahir Izzah. Yang pastinya kek harilahir Izzah yang Ibu siapkan adalah Kek Keju Salju. Lain-lainnya... ingin benar Ibu kisahkan hal tungkuslumus Ibu hari ini sejak dari pagi lagi.

Jadi apakah marathon masak-memasak yang Ibu buat hari ini yang harus jadi entri kali ini ya.

Ya Allah...

Kepalahotak Ibu sedang kekejangan, kelupaan, kebiulan... blank. Hitam. Putih. Hitam. Putih.
Langsung tak dapat mengimbas dan memikir perkataan apa yang patut disusun untuk entri ini. Langsung tiada imbasan... langsung hilang dari ingatan!

Apakah sebenarnya yang ingin dipersembahkan.. apakah kekunci yang nak ditari-tari dan diketuk-ketuk menjadi perkataan yang menceritakan kisah marathon Ibu hari ini... tajuknya saja indah khabar. Tapi sebenar-benarnya khabar sudah luput dari ingatan untuk catatan journal 4 Februari 2015...

Aduhaiiii.... Subhanallah... Astaghfirullah..



Sabtu, Februari 15, 2014

.: buntu :.

 Bismillah.

Begitu lama belog ini ditinggalkan sepi tanpa cerita-ceritinya. Entah kenapa begitu sukar sekali untuk duduk disini dan mengarang walau sependek-pendek pun karangan. Yalah... cuma catatan journal harian.  Kenapa entah begitu payah. Membaca juga kini jadi problem yang begitu sukar untuk diatasi. Malas yang amat melanda seluruh tubuhbadan lesu tapi semakin memboyot Ibu ini. Semangat!! Hilang ke mana itu semangat tak jumpa dicari...

Tapi ada satu yang dapat Ibu catatkan sebagai kebanggaan. Ibu mengaji hari-hari sekarang! Setiap hari. Bukan sekadar mengaji tiap-tiap hari. Tapi satu juz satu hari dapat Ibu habiskan. Seronoknya rasa.

Pun begitu Ibu tak seharusnya lekas berpuashati dengan pencapaian itu. Harus terus kuat mujahadah untuk istiqamah. Bukan sekadar memastikan ia berterusan tapi juga memastikan penambahbaikannya juga. Itulah sebenarnya istiqamah.

Ya Allah, Ya Wahab... Bantulah aku untuk dapat terus mengingatiMU, mensyukuri nikmatMU dan memperbaiki ibadahku terhadapMU...

Amin.

Selasa, Disember 31, 2013

.: diari baru :.

Hari ini hari terakhir 2013 dilalui. Esok Ibu akan buka diari baru. Penuh harapan diari  baru ingin Ibu lakari dengan ceritaceriti berwarnawarni.  Ibu sangat ingin kurangkan cerita lalai dan malas. Paling kuat kali ini Ibu ingin  belajar berjimat cermat, menyimpan dan mengumpul dana untuk jalan-jalan dan melancong lebih banyak bulan-bulan mendatang nanti. Apalagi hari ini anak-anak telah Ibu bawa ke Jabatan Imigresen untuk perbaharui passport mereka. Penuh harapan Ibu agar passport mereka akan bukan sekadar untuk ke Singapura tapi juga ke tempat-tempat lain yang menjadi impian kami seanak-beranak...weeehuuu... 
Diari baru itu juga kalau dapat, penuh harapan ingin Ibu isinya dengan cerita daya usaha Ibu yang lebih bersemangat baru demi meraih pendapatan hasil keringat Ibu sendiri. Mudah-mudahan Allah Ya Wahab beri limpah kurniaNya untuk Ibu merealisasikan cita-cita yang satu ini. Dapat seminggu sekali pun jadilah. Biar ada jua yang dapat Ibu jadikan tabungan. Semoga Ibu kuat untuk bermujahadah dalam mencapainya. Mudah-mudahan Allah Ya Qayum menyirami qalbu Ibu dengan semangat yang jitu. 
Diari baru itu juga penuh harapan ingin Ibu coretkan kisah harian yang banyak ceritanya tentang penemuan-penemuan formula 'R' yang tidak putus-putus. Semoga hari ke hari kesemuanya formula demi formula 'R' itu akan terus-terusan ditemui tanpa henti. Bila ia sentiasa ditemui tentu makin kurang cerita malas dan lalai ya!
Juga penuh harapan Ibu agar diari baru ini tidak akan banyak rona-rona masalah kesihatan. Biar Ibu serta anak-anak sentiasa memakai mahkota keafiatan. Mudah-mudahan Allah Ya Shafiy memberi nikmat kesihatan buat Ibu seisi keluarga.

Begitulah adanya harapan bercampur azam.  Biar ia tercatat di sini supaya dapatlah ia menjadi penyebab untuk Ibu tidak mengabaikan hasrat yang telah Ibu tanamkan demi membawa diri  berubah dan kembali lebih dekat kepada RedhaNya... semangat!! 

Selasa, Oktober 01, 2013

.: Ibu surirumah kembali :.

Memulakan semula hari pertama sebagai Ibu surirumah hari ini agak membosankan. Tidak banyak hal yang dapat mengisi masa Ibu. Bibik masih pengurus housekeeping dirumah ini. Ibu cuma memasak dan menghantar serta menjemput Irsyad sahaja. Selebihnya masa Ibu terbuang begitu-begitu sahaja. Melepak-lepak dan melepak-lepak. Begitulah Ibu terus bermalas-malasan. 
 
Entah berapakali sepatutnya seseorang itu mendapat peluang hari pertama. Buat Ibu ia sudah berulang-ulang kali. Hingga pada saat ini serasa Ibu tidak mahu lagi menempuh hari pertama lagi. Selalu saja rasanya Ibu mensia-siakan waktu pada hari pertama itu... teeheehee...

Ibu harap Ayah sudah mendapatkan tiket pulang ke Aceh untuk bibik. Biarlah Ibu sibuk dengan masalah rumahtangga sendiri selepas ini.

Semoga sekali ini segalanya akan bertambah  baik. Semoga ada saja sebab untuk Ibu bersemangat, beristiqamah berusaha menjadi yang  lebih baik dan lebih baik dan lebih baik... fite it!!



Jumaat, September 27, 2013

.: hilang ingatan lagi :.

Semalam petang di rumah memang ada sesuatu yang ingin  Ibu tuliskan sangat. Sementelah komputer di atas meja dalam kamar Ibu yang penuh habuk itu rosak. Ibu perlu pena dan kertas. Tapi ketika itu kertas dan pensel tidak berada dekat dengan Ibu. Malas benar mengangkat punggung Ibu yang  berat untuk mengambilnya. Dan susunan kata-kata cuma  berada dalam kepala.

Malang sungguh hari ini bila telah berada di meja kerja ini puas Ibu mengingatkan tentang hal apa yang nak ditulis. Ibu tak jumpa cari yang Ibu hilang. aahhh... hilang ingatan lagi!!
Hingga ingatan pulih kembal, coretan akan disambung...

Umrah Ramadhan 1436H

Bismillah. Perjalanan Umrah Ramadhan 1436H (Jun2015) tidak seharusnya terbiar tanpa dicoretkan rententannya diatas kertas. Tapi, memang ...